CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghargai sumbangan para petugas barisan hadapan yang membantu operasi sekatan jalan raya (SJR) di Lembah Klang yang tamat mulai tengah malam tadi.
Penghargaan itu ditujukan para anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak-pihak lain yang telah membantu operasi SJR di Lembah Klang.
“Penghargaan turut dizahirkan buat anggota SJR yang masih beroperasi di seluruh negara. Pengorbanan dan jasa semua amatlah dihargai oleh saya dan rakyat Malaysia.
“Terima kasih barisan hadapan Keluarga Malaysia,” katanya menerusi ciapan dalam Twitternya hari ini.
Kelmarin, Ismail Sabri mengumumkan Lembah Klang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Di bawah Fasa 2 PPN rentas daerah dibenarkan dan tiada sekatan jalan raya akan dilaksanakan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, SJR di Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kanagapuram ditamatkan mulai tengah malam tadi.
Ia susulan peralihan kepada Fasa 2 di Lembah Klang yang diumumkan kerajaan.- Edisi 9