25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

‘Sejahtera’ Keluarga Malaysia dalam fasa endemik

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHD ZAINI OTHMAN

PENGENALAN ciri-ciri baharu pada MySejahtera apabila pengguna membuat kemas kini aplikasi ini di telefon pintar masing-masing mendapat reaksi positif rakyat Malaysia.

Inilah aplikasi harian yang kerap kita gunakan apabila berada di luar atas pelbagai tujuan kerana aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia ini adalah untuk membantu dalam pengawasan penularan COVID-19.

Ciri baharu yang ditambah pada muka hadapan iaitu paparan status vaksinasi, risiko COVID-19 dan lokasi akhir daftar masuk dilihat menimbulkan keterujaan kepada pengguna untuk berkongsi ‘barang baru’ ini di media sosial.

Bagusnya, ia menarik kesedaran kepada para pengguna lain untuk segera mengemas kini MySejahtera masing-masing.

Mudah kata, tanpa MySejahtera memang tidak ‘sejahtera’ rakyat Malaysia untuk ke mana-mana kerana semua urusan sama ada di premis dan pusat perniagaan, kilang, pejabat, tempat ibadah malah gerai penjaja kecil di tepi jalan pun perlu menggunakan aplikasi ini.

Lebih penting lagi kini apabila pada aplikasi berkenaan menyimpan sijil digital imunisasi COVID-19 yang menjadi dokumen amat berharga pada masa kini.

Penggunaan MySejahtera antara antara norma baharu yang sudah sebati dalam keperluan harian masyarakat seperti juga pemakaian pelitup separuh muka apabila berada di luar kediaman.

Sedar tak sedar, kurang tiga bulan lagi dari sekarang, tahun 2021 akan melabuhkan tirainya dan rakyat Malaysia seperti sudah dapat menerima COVID-19 ini akan menjadi sebahagian dari ‘makhluk’ yang tidak ada hati langsung untuk kita berkawan tetapi sentiasa ada disekeliling ingin ‘berdamping’.

MySejahtera akan terus menjadi aplikasi paling penting selepas ini. – Foto Bernama

Penulis sendiri tidak menjangkakan bahawa sudah lebih setahun rakyat Malaysia berjuang dan bertahan untuk membebaskan negara dan diri sendiri dari penjajahan COVID-19 sehinggakan tema Hari Kebangsaan 2020 dan 2021 juga punyai kaitan langsung dengan pandemik ini.

Sepanjang tempoh tersebut, ada dalam kalangan kita yang kehilangan orang tersayang dan ahli keluarga, terputus punca pendapatan, dibelenggu tekanan hidup, hubungan suami isteri berantakan dan lain-lain lagi.

Khairy Jamaluddin pada sidang media sulungnya sebagai Menteri Kesihatan sudah memberi bayangan bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia untuk terus hidup dengan ‘teman tak mesra’ ini sebagai endemik.

Advertisements

Beliau berkata negara dijangka memasuki fasa endemik COVID-19 pada penghujung Oktober selepas 80 peratus penduduk dewasa lengkap menerima dua dos vaksin.

Selepas hampir dua tahun rakyat terbatas pergerakan dan aktiviti atas dasar mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan, pengumuman Khairy ini adalah satu petanda positif kerajaan dilihat sudah bersedia untuk membawa Keluarga Malaysia lebih ‘bebas’.

Kerajaan telah memberi komitmen dalam sedikit masa lagi akan mengumumkan langkah-langkah bagi memudahkan SOP sedia ada supaya ia tidak terlalu banyak dan terlalu rumit supaya rakyat lebih jelas serta mudah difahami untuk dipratikkan sebagai persediaan untuk hidup bersama COVID-19 dalam fasa endemik nanti.

Pastinya salah satu kelonggaran yang ditunggu-tunggu rakyat adalah kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, perkara ini merupakan salah satu kelonggaran yang berada dalam radar kerajaan untuk dipertimbangkan selain turut memberi bayangan kebenaran membuka lebih banyak sektor ekonomi.

Tambahnya lagi, kerajaan mengambil kira pelbagi faktor sebelum setiap kelonggaran dimuktamadkan kerana ia melibatkan soal kesihatan rakyat dan keselamatan negara.

Sekiranya negara tidak beralih ke fasa endemik pada akhir Oktober nanti tetapi pada masa yang sama, negara sudah berjaya mengawal pandemik dari aspek penularan jangkitan, semakin menurunnya kes kemasukan ke hospital dan kes kematian, ia tidak menolak fakta bahawa COVID-19 akan terus hidup bersama kita.

Masyarakat perlu menerima hakikat untuk hidup bersamanya walaupun ia berjaya dikawal kelak.

Rakyat masih perlu patuh pada SOP dan lakukan kawalan kendiri kerana sikap kelekaan dan ambil mudah bahawa COVID-19 ini masih berbahaya akan mendatangkan musibah pada diri sendiri, orang disekeliling dan negara.

Kita perlu kekal berdisiplin agar kita punyai kesempatan menjalani kehidupan yang berfungsi seperti dahulu dalam norma baharu.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah menampakkan sinar kejayaan, justeru penulis menyeru agar semua pihak terus berganding bahu membantu kerajaan memromosikan kepentingan vaksinasi ini.

Kita ingin melihat seramai mungkin masyarakat menerima vaksin dan mendapat perlindungan imunisasi kerana ini salah satu ikhtiar kita bersama untuk melihat Keluarga Malaysia hidup dalam kesejahteraan semula.

  • Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan