27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Jangkitan 32 kali ganda babit golongan bawah 18 tahun

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Dalam tempoh sembilan bulan, jangkitan COVID-19 membabitkan golongan berusia bawah 18 tahun meningkat sehingga 32 kali ganda.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tahun ini sahaja, kes jangkitan melonjak kepada lebih 400,000 berdasarkan perangkaan semasa berhubung kadar penularan jangkitan dalam kalangan golongan berkenaan.

“Jika tahun lalu, kes membabitkan golongan bawah 18 tahun hanyalah sekitar 12,000 kes tetapi pada tahun ini, ia meningkat kepada lebih 400,000.

“Daripada jumlah itu, 252,569 membabitkan murid sekolah dan 42,831 kes adalah kenak-kanak prasekolah.

“Malah lebih membimbangkan, sebanyak 62 kes kematian telah dicatatkan. Statistik turut menunjukkan kira-kira 12,000 individu berusia bawah 18 tahun disahkan positif COVID-19 pada tahun lalu,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena webinar anjuran Kementerian Kesihatan bertajuk, Hidup Bersama-Sama Virus COVID-19: Kanak-Kanak dan Remaja secara dalam talian.

Khairy berkata, dalam hal ini, tanggungjawab kita bersama untuk terus memastikan anak-anak kita terhindar daripada COVID-19 dengan memastikan persekitaran yang selamat buat mereka, termasuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan perlindungan yang sewajarnya.

Selari kajian semasa, menurutnya, kerajaan telahpun memulakan suntikan vaksin kepada golongan remaja antara umur 12 hingga 17 tahun sebagai suatu ikhtiar untuk melindungi mereka.

“Ketika ini, lebih 30 peratus daripada keseluruhan 2.5 juta sasaran vaksinasi remaja sudah menerima dos pertama mereka.

“Walaupun vaksinasi memberikan perlindungan daripada kesan buruk COVID-19, tetapi ia belum cukup. Pembudayaan amalan normal baharu masih perlu terus dipraktikkan bagi memastikan kita dan anak-anak dapat menjauhkan diri daripada risiko jangkitan.

“Antara langkah yang perlu kita amal kepada anak-anak merangkumi pemakaian pelitup muka sepanjang masa, membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan fizikal,”katanya.

Khairy berkata, usaha berkenaan adalah sebahagian persiapan warga sekolah dan ibu bapa sebelum anak mereka memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

“Perkara paling utama yang perlu diberikan tumpuan ialah untuk anak masing-masing mampu menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan, dengan memberikan sokongan dan galakan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tanpa mengira sama ada mereka divaksin atau sebaliknya,” katanya.- Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan