28.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 5, 2022

COVID-19 buka peluang dalam penyelidikan dan inovasi

Mesti Baca

Editor
Editor Edisi 9

Oleh DR WAN MOHD NUZUL HAKIMI WAN SALLEH

WAN MOHD NUZUL HAKIMI

PENDIDIKAN tinggi adalah antara sektor yang menerima kesan signifikan daripada pandemik Covid-19.

Penyelidikan dan inovasi menjadi antara aspek utama yang sedang mengalami proses penambahbaikan seiring dengan impak Covid-19, selain daripada pengajaran dan pembelajaran, sistem pengurusan, pengantarabangsaan dan perancangan strategik universiti.

Di sebalik peraturan lebih ketat dan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) diperkenalkan kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19, aktiviti penyelidikan di universiti masih perlu bergerak.

Namun begitu, dalam situasi negara dan dunia keseluruhannya yang masih terkesan dengan isu Covid-19, pelbagai perancangan dan aktiviti penyelidikan terganggu terutama yang melibatkan pergerakan fizikal termasuk penganjuran persidangan dan penyertaan dalam pameran penyelidikan.

Aktiviti penyelidikan dan inovasi ini terutama yang melibatkan sains dan teknologi terpaksa ditangguhkan kerana kekangan pergerakan. Para penyelidik kita tidak bebas ke makmal dan turun ke lapangan.

Sebahagian kajian membabitkan pengumpulan data yang dulunya dilakukan secara bersemuka tergendala, manakala kebanyakannya terpaksa diubah kepada kajian secara dalam talian. Lantas, bagaimanakah aktiviti penyelidikan ini boleh diteruskan sama seperti pembelajaran maya?

Justeru, satu garis panduan boleh dibangunkan oleh universiti bagi menjayakan penyelidikan semasa krisis, sama seperti aspek pengajaran dan pembelajaran.

Dunia penyelidikan menyaksikan perkongsian pengetahuan dan penemuan mengenai Covid-19 berlaku sangat pantas. Tidak hanya tertakluk universiti dan institusi, penyelidikan dan inovasi berkaitan Covid-19 juga membabitkan sumbangan pelbagai kementerian, jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

Dalam pada itu, satu perkara yang menarik dalam aspek penyelidikan dan inovasi sewaktu krisis adalah fokus hasil penyelidikan dan inovasi yang boleh menangani Covid-19 atau menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Pada tahun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menawarkan geran khas bagi menjalankan penyelidikan terhadap bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi pasca-Covid-19.

Baca juga:   Covid-19: Lembah Klang terima tambahan katil 14 kali ganda
Baca juga:   Masjid Hagia Sophia, solat tarawih pertama selepas 88 tahun

Penawaran geran penyelidikan yang bersifat jangka pendek ini meliputi 20 bidang utama merangkumi ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan dan ia terbuka kepada semua pensyarah universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta.

Ini merupakan antara usaha KPT dalam menyediakan sumber rujukan kepada kerajaan terutama kepada kementerian berkaitan, sebagai persediaan merangka dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak Covid-19.

Kajian jangka pendek ini juga berpotensi untuk menghasilkan pelan tindakan yang mengandungi quick wins, jangka pendek dan jangka panjang yang berpaksikan rakyat, kos rendah/efektif, berkonsepkan blue ocean strategy dan memanfaatkan kerajaan yang meliputi pelbagai aspek.

Dalam pada itu, pihak universiti sendiri juga ada menawarkan geran khas penyelidikan pasca Covid-19. Sebagai contoh, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC).

Geran jangka pendek ini sebagai usaha menyediakan sumber rujukan terutamanya kepada kementerian dan industri yang berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak sebagai persediaan merangka polisi atau dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak Covid-19.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula menyediakan geran berjumlah RM3.55 juta untuk penyelidikan berimpak tinggi, khususnya yang dapat membantu menyelesaikan masalah masyarakat susulan penularan pandemik Covid-19.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) juga mengumumkan Pakej Rangsangan Penyelidikan Pasca Covid-19 UniMAP2020 yang membabitkan dana keseluruhan berjumlah lebih RM1 juta.

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula menyediakan dana penyelidikan sebanyak RM126,000 menerusi Skim Geran Penyelidikan UMK-Covid-19 Special Grant untuk menghasilkan solusi bagi menghadapi wabak Covid-19.

Begitu juga dengan kajian mengenai perubatan dan kesihatan awam telah mendapat tempat dan mencuri perhatian pemberi dana penyelidikan pasca Covid-19.

Buat pertama kalinya, geran Covid-19 Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia diperkenalkan oleh Fakulti Perubatan UKM yang memfokuskan kepada domain kesihatan dan perubatan termaju.

Baca juga:   Majoriti ketua AMK Selangor hilang kepercayaan terhadap Akmal

Selain itu, kajian berbentuk transdisiplin juga perlu diperkukuh dalam menghadapi pasca Covid-19 kerana ia boleh memberi hasilan yang lebih menyeluruh dan bermakna.

Hal ini boleh dimanifestasikan melalui transformasi sosial dan ekonomi, teknologi terkehadapan dan digital, sumber lestari alam sekitar dan kehidupan pintar, serta warisan dan masyarakat madani.

Pandemik Covid-19 juga telah mendorong pelbagai inovasi dan ia sangat penting untuk membolehkan dunia mengatasi virus ini seterusnya bangkit lebih kukuh dalam era pasca Covid-19.

Antaranya ialah melalui penghasilan vaksin Covid-19 pertama negara. Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba, penghasilan sendiri vaksin Covid-19 sangat penting bagi membantu negara mencegah wabak itu daripada terus menular.

Dengan kata lain, negara memerlukan lebih banyak penyelidikan yang berkaitan dengan pandemik ini yang boleh dikongsi bersama dengan masyarakat.

Baca juga:   Pemberian dos penggalak meningkat, 119,925 dos semalam

Perkongsian ini turut melibatkan analisis data yang lebih terperinci untuk memahami dengan lebih baik kaedah menangani pandemik. Ini termasuklah memberi pendedahan dan pendidikan melalui teknologi dalam menangani kehidupan norma baharu.

Konklusinya, penawaran geran-geran khas penyelidikan serta inovasi pasca Covid-19 sewajarnya mampu menghasilkan dapatan pelbagai perspektif yang boleh membantu penggubalan dasar dan polisi baharu pada masa akan datang.

Sepanjang situasi Covid-19 ini juga, universiti perlu cakna dan bersedia untuk berubah dalam meneruskan kesinambungan pendidikan tinggi negara.

Pasca-Covid-19 ini seharusnya menjadi agen transformasi, iaitu menggerakkan pegangan penyelidikan untuk ilmu kepada penyelidikan kepada masyarakat.

  • Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Wartawan

Terkini

Parlimen: 1,337 banduan dijatuhkan hukuman mati

SERAMAI 1,337 banduan telah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman mati sejak 2000. Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin...

Lagi Artikel Berkaitan