24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

140,608 hilang pekerjaan sejak pandemik COVID-19

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Seramai 140,608 orang hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 bagi tempoh Mac 2020 sehingga 20 Ogos lalu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Menurut beliau, angka itu berdasarkan kepada data perangkaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Justeru, katanya, kerajaan telah mengambil tindakan susulan bagi membantu individu terbabit.

“Kerajaan sedar serta amat prihatin terhadap impak COVID-19 dalam kalangan rakyat yang serius.

“Dalam tempoh tidak menentu ini, ramai pekerja yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan memerlukan sokongan dan bantuan.

“Antara tindakan kerajaan bagi menangani kehilangan pekerjaan adalah menyalurkan bantuan dengan membantu Orang Berinsurans yang telah kehilangan pekerjaan.

“Bantuan itu adalah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) iaitu faedah berbentuk kewangan dan bantuan pencarian pekerjaan,” katanya ketika menjawab jawapan bertulis di Dewan Rakyat lapor BH Online.

Advertisements

Terdahulu, Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) bertanyakan perangkaan kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat sejak pandemik COVID019 melanda.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai jumlah mereka yang hilang kerja berjaya ditempatkan semula dalam sektor pekerjaan, Saravanan berkata ia membabitkan 58,530 orang bagi tempoh Mac 2020 sehingga 20 Ogos lalu.

Sejak pelancaran portal MyFutureJobs pada 2020 sehingga 10 September lalu, Saravanan berkata seramai 1.13 juta pencari pekerja didaftarkan dan sebanyak 2.31 juta kekosongan jawatan diiklankan di platform itu.

Melalui portal itu, katanya seramai 377,076 orang pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Seramai 64,766 orang adalah daripada golongan pencari kerja yang kehilangan pekerjaan dan menuntut faedah di bawah SIP, manakala 312,310 orang adalah golongan pencari kerja awam.

“Portal MyFutureJobs adalah portal pekerjaan sehenti bagi semua pencari kerja dalam negara yang menghimpunkan pelbagai peluang pekerjaan, program reskilling (pemahiran semula) dan upskilling (peningkatan kemahiran) serta program-program keusahawanan daripada pelbagai agensi.

“Portal MyFutureJobs melancarkan lagi proses perkhidmatan pekerjaan dan juga telah digunakan sebagai platform dalam melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja,” katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan