27.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 8, 2024

Taat titah Raja-raja Melayu, utama kepentingan rakyat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI) berharap semua pihak menerima panduan dan titah nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena sambutan Maal Hijrah agar pemimpin politik mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah dengan hati terbuka.

Pemimpinnya, Ismail Mina Ahmad berkata, perkara serupa turut dititahkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut beliau, semua pihak terutamanya pemimpin politik seharusnya menumpukan seluruh tenaga kepada usaha mengurus kesenjangan sosioekonomi masyarakat yang amat mendukacitakan, memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang membimbangkan, serta menguraikan kekusutan politik yang berlarutan yang boleh menjana ketidakstabilan negara yang lebih dahsyat.

“Justeru semua pemimpin politik perlu menghayati jiwa Hijrah dengan memberhentikan segera perbalahan dan tindakan perebutan kuasa politik ketika masyarakat dan negara sedang berada di dalam keadaan luar biasa, yang memerlukan tindakan luar biasa daripada semua pihak terutamanya pemimpin politik yang kelihatan semakin ghairah dan agresif untuk menguasai koridor kekuasaan.

“Amalan dan tindakan politik demokrasi dalam norma biasa harus digantikan dengan kaedah ‘kewajiban semasa’ atau wājib al-waqt,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Mina menambah, IPTI mengharapkan semua pemimpin politik perlu berjiwa besar dengan menahan sifat amarah masing-masing dan pada masa yang sama, menjana sifat sabar yang luar biasa dalam keadaan yang luar biasa seperti sekarang ini.

Advertisements

Beliau memberitahu, mereka perlu menghentikan segera segala pergelutan dan perlakuan bersengketa seperti nasihat dan titah Raja-raja Melayu tersebut, serta mengadakan gencatan senjata politik kekuasaan, justeru boleh menjernihkan keadaan yang sudah pun keruh dan mendukacitakan ini.

“Semua pihak terutamanya pemimpin politik bersekali dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu membantu mengurus masyarakat dan negara agar dapat keluar daripada keadaan kesenjangan sosioekonomi melalui tindakan bijaksana semua pemimpin politik, termasuk Raja-raja Melayu.

“Justeru, panduan dan nasihat signifikan dan fundamental Raja-raja Melayu itu wajib dihayati dengan semangat Hijrah dan dibuktikan secara konkrit dalam tindakan kearifan politik maslahah masyarakat,” jelasnya.

Ismail Mina berkata, Raja-raja Melayu yang menjadi tunggak kekuatan serta kestabilan politik negeri dan nasional telah pun bersuara memberi tunjuk ajar dan nasihat.

Menurut beliau, atas kebijaksanaan Raja-Raja Melayu itu, beberapa prinsip dan kaedah siyasah syar‘iyyah dapat dilakukan tanpa melalui proses biasa dalam norma biasa di Parlimen, tetapi boleh diurus dengan bijaksana oleh Dekri Diraja.

“Ini adalah satu mekanisme efektif dalam merungkai sementara kemelut sosiopolitik Malaysia sekarang, sebelum rangkaian Covid-19 dapat diputuskan sepenuhnya, justeru dapat kembali kepada keadaan politik sebelum ini yang normal,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

KLDX, AsiaNext perluas pasaran aset digital di rantau ini

BURSA sekuriti digital, KLDX menjalinkan kerjasama dengan bursa sekuriti aset digital, AsiaNext bagi memperluaskan pasaran aset digital di rantau...

Lagi Artikel Berkaitan