28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Satu bulan yang ‘mencabar’ Muhyiddin

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

TAN Sri Muhyiddin Yassin mempunyai masa satu bulan lagi sebelum usul undi percaya dibentangkan di Parlimen, sepertimana yang dijanjikan beliau.

Perkara itupun sudah diperkenakan oleh Yang di-Pertuan Agong. Maknanya, mahu atau tidak beliau perlu mengotakan janjinya.

Di sebelah sana terus menerus mendesak agar Parlimen disegerakan. Tak sabarnya mereka nak ‘menumbangkan’ seorang Perdana Menteri yang mereka sendiri perakui sebelum ini.

Mungkin mereka terlalu yakin dapat melakukannya sepertimana berlaku dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebelum ini.

Sebetulnya bukan mudah bagi seorang Perdana Menteri ‘menghulurkan kepala’ untuk dipancung dalam Parlimen.

Ini kerana jika gagal mendapat sokongan majoriti beliau akan kehilangan jawatan tersebut, dan bersoraklah mereka yang sekian lama mengidamkan kerusi tersebut selama ini.

Pun begitu Muhyiddin berjiwa besar.

Walaupun jawatan Perdana Menteri sebetulnya tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak waima Yang di-Pertuan Agong selagi beliau berkuasa dan kerajaan masih wujud, namun tindakan beliau memang mengejutkan kawan dan lawan.

Ramai yang keliru menganggap Agong berhak menggantikan seorang Perdana Menteri. Sebetulnya tidak. Dalam Perlembagaan Persekutuan Agong hanya boleh memilih seorang Perdana Menteri apabila jawatan itu kosong atau dikosongkan.

Bermakna selagi Perdana Menteri masih berkuasa, kedudukannya tidak boleh digugat melainkan beliau secara sukarela meletakkan jawatan atau apabila tidak mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.

Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya secara sukarela pada 24 Februari 2020 dan Agong telah menggunakan kebijaksanaan baginda dalam memilih seorang Perdana Menteri yang baharu yang mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan ahli Parlimen.

Bermakna pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 29 Februari 2020 adalah atas sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen (baca: pemimpin parti).

Pun begitu tidak bermakna begitu mudah jawatan itu ditarik balik dengan hanya menarik sokongan di luar Parlimen. Ini bukan sistem kerajaan rimba.

Ini sistem kerajaan yang disusun begitu cantik oleh orang terdahulu bagi mengelak jawatan Perdana Menteri dapat dilucutkan dengan begitu mudah, kerana jika demikian boleh membawa ke kancah krisis perebutan kuasa yang maha dahsyat.

Sebab itulah dalam Perlembagaan negara disusun begitu rupa agar kedudukan Perdana Menteri tidak mudah diganggu gugat melainkan atas kuasa Parlimen.

Tetapi Muhyiddin tidak perlu menunggu pihak di sebelah sana yang membuat usul undi tidak percaya terhadapnya, sebaliknya beliau sendiri yang menawarkan diri.

Persoalannya, apakah Muhyiddin mampu menarik sokongan majoriti di Parlimen bulan depan?

Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan balik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Semalam, lebih 30 Ahli Parlimen UMNO tampil mempertahankan kerajaan PN. Ada dalam kalangan mereka hanya mahu bersama dengan kerajaan tetapi menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Maka sekarang ini ramai yang mula berkira-kira soal angka. Tolak sana, campur sini. Tolak sini, campur sana. Mereka mula mencongak itu ini.

Namun politik tidak seperti matematik 1+1 akan jadi 2. Politik sangat dinamik dan penuh dengan elemen kejutan. Tiada siapa boleh menduga.

Hari ini berlawan, esok mereka berkawan. Hari ini berkawan, esok mereka berlawan. Itulah congakan politik.

Jadi bagi mereka yang sudah memasang angan-angan untuk menjadi Perdana Menteri selepas 7 September ini, lebih baik pendamlah dahulu.

Kerana dalam politik, apa sahaja boleh berlaku! – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan