26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Muhyiddin lancar PERKUKUH, mantap tadbir urus 6 GLIC

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) secara maya hari ini, secara langsung memulakan perjalanan untuk enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melaksanakan mandat mereka yang diperbaharui.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, konsep PERKUKUH dizahirkan untuk mencapai lima hasil utama iaitu, memperjelas mandat setiap GLIC, peningkatan fokus kepada pelaburan pembangunan untuk memacu pertumbuhan baharu, menyemarakkan sektor swasta, menyiap siaga GLIC bagi masa hadapan melalui peningkatan tadbir urus dan keupayaan serta mengukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal GLIC.

Menurut beliau, inisiatif itu diperlukan bukan hanya untuk bersaing dengan landskap pelaburan yang terus berubah, tetapi juga untuk memastikan supaya kita mendukung konsep Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dalam keputusan pelaburan aset negara kita.

“Jika kita tidak mengikuti perkembangan sebegini, ia akan menimbulkan risiko kepada kemampuan Malaysia di masa hadapan, misalnya di dalam memanfaatkan teknologi baharu atau meningkatkan teknologi yang ada untuk mencapai sasaran manfaat sosioekonomi selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Sebagai pemain dan pelabur utama di dalam ekonomi, GLIC merupakan penyumbang penting kepada asas ekonomi Malaysia.

“Oleh itu, peningkatan tadbir urus dan proses-proses yang berkaitan juga akan memperkuatkan daya ketahanan GLIC lebih-lebih lagi dalam suasana yang mencabar, dan dengan itu akan menyokong kestabilan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tengku Zafrul memberitahu, PERKUKUH akan mewujudkan ekosistem yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dalam ekonomi.

Beliau menambah, bagi GLIC, pembinaan portfolio pelaburan (strategik dan komersial) dengan pulangan lebih tinggi yang mengambil kira faktor risiko, dan tadbir urus yang lebih rapi akan menjamin ketahanan dan prospek pertumbuhan yang lebih baik. Pendekatan ini secara beransur-ansur akan meraih pulangan pelaburan yang lebih baik bagi pendeposit, pemegang saham dan para pesara.

“Komuniti pelabur pula akan mendapat manfaat dari pembangunan bidang-bidang pertumbuhan baharu, di mana lebih banyak peluang untuk mereka terlibat secara langsung melalui penyemarakkan pelaburan swasta, lebih-lebih lagi di dalam sektor-sektor baharu dan yang telah dibangunkan.

“Manfaat kepada ekonomi adalah melalui pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan tambah nilai yang tinggi, justeru memperkukuhkan prospek pertumbuhan dan ketahanan fiskal negara bagi jangka masa panjang.

“Yang paling penting, rakyat akan mendapat manfaat daripada prospek peningkatan pendapatan, pulangan yang stabil bagi simpanan/deposit/pencen, serta program perlindungan sosial yang lebih berkesan dan holistik,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, peranan GLIC dalam mendorong digitalisasi dan teknologi melalui pelaburan mereka juga akan menyokong kepentingan Malaysia untuk meningkatkan prospek dan ketahanan ekonomi jangka masa panjang.

“Ini akan dilakukan seiring dengan komitmen kerajaan bagi penyusunan semula struktur dalam jangka masa sederhana untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, serta menghasilkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Sejak bermulanya pandemik ini, kerajaan telah memperkenalkan Strategi Pemulihan Ekonomi 6R (Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalise, dan Reform) untuk melonjakkan semula ekonomi negara. PERKUKUH adalah inisiatif jangka sederhana selama tiga tahun dan adalah sebahagian daripada peringkat terakhir Strategi 6R iaitu Reform atau Menyusun Semula.

Petunjuk Prestasi Utama akan ditentukan dengan jelas dan dipantau dengan teliti oleh Kementerian Kewangan untuk memastikan supaya program-program di bawah inisiatif ini terus berada di landasan yang betul.

Majlis pelancaran PERKUKUH secara maya telah dihadiri oleh barisan pengerusi, ahli-ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan kanan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Wakil-wakil pengurusan kanan Kementerian Kewangan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia turut hadir.

Secara keseluruhan, keutamaan semasa kerajaan adalah melindungi nyawa dari ancaman COVID-19 dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara tetap kukuh dalam jangka sederhana dan panjang, berpandukan Pelan Pemulihan Nasional, prinsip-prinsip pengurusan kewangan yang berhemah dan pembaharuan yang dirancang melalui PERKUKUH dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Kerajaan akan terus bertindak balas secara strategik dan proaktif di tengah-tengah persekitaran COVID-19 yang mencabar ini, di samping berusaha untuk meminimumkan sebarang parut kekal pada ekonomi akibat krisis pandemik ini. – EDISI 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan