25.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, December 7, 2021

Ketepi kepentingan politik, junjung titah Agong – DPMM

Mesti Baca

CYBERJAYA – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa parti-parti politik mengetepikan sementara kepentingan politik, sebaliknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk berusaha menyelesaikan kemelut ekonomi dan kesihatan secepat mungkin.

Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, DPMM mengambil inisiatif menghimpunkan hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian.

Menurut, semua NGO bersepakat dalam isu membabitkan kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan nasional walaupun tidak sependapat dalam banyak perkara lain.

“Kami berharap ahli politik juga dapat mengambil iktibar daripada usaha suara ketiga ini dan mengenepikan sementara kepentingan politik dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar berusaha mencari jalan keluar kepada kemelut ekonomi dan kesihatan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, DPMM menyambut positif pelantikan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bagi portfolio Hal Ehwal Jalinan Komuniti, Komunikasi Masyarakat dan Pembangunan Sosioekonomi.

“Perlantikan ini sudah tentu satu tanggungjawab cukup besar tatkala rakyat masih bergelut dengan krisis ekonomi dan kesihatan dan negara masih ‘ribut’ dengan cerita politik yang tidak kunjung reda.

“DPMM berharap pelantikan Ahmad Faizal mampu memberi kelegaan kepada situasi tidak menentu ini, dan menjadi jambatan kepada hubungan NGO dengan barisan kepimpinan kerajaan yang lebih proaktif,” jelasnya.

Abdul Halim berkata, sebagai pertubuhan yang membela nasib golongan usahawan dan orang Melayu, DPMM sentiasa menuntut kerjasama sihat di antara kedua-dua belah pihak bagi memastikan program dan dasar dilaksanakan kerajaan dapat terus dinikmati rakyat.

Baca juga:   Komen jelik hina TMJ, pembantu gerai ditahan polis
Baca juga:   Mahathir, apa lagi tak cukup?

“Pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara semenjak hampir dua tahun lalu telah memberi kesan amat teruk kepada semua. Banyak laporan telah diterima mengenai bantuan yang lambat atau tidak sampai.

“Begitu juga nasib jutaan penjaja Melayu yang terumbang-ambing dan terputus makanan, atau pemain industri dalam sektor utama seperti percetakan, perkhidmatan professional, hartanah dan banyak lagi yang bergantung kepada intervensi daripada kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan, DPMM sentiasa cakna akan rintihan serta masalah yang dihadapi di luar sana, namun berhadapan tugas sukar untuk membantu sekiranya tidak mendapat tindakbalas baik daripada kerajaan. – EDISI 9

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia ikut SOP ketat

PROGRAM 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat...

Lagi Artikel Berkaitan