33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

FDAM gesa Annuar perkemas hala tuju FINAS

Mesti Baca

CYBERJAYA – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggesa Tan Sri Annuar Musa memperkemas hala tuju Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan wawasan dan pendekatan baharu yang lebih dinamik.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, perbincangan dengan persatuan-persatuan seni kreatif perlu diadakan sebelum dasar-dasar baru dilaksanakan.

“FDAM berpandangan kepimpinan FINAS harus dirombak dengan meletakkan individu yang lebih berkebolehan sebagai Ahli Lembaga Pengarah (BOD).

“Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pula perlu dikembalikan kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Annuar sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu dan Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Timbalan Menteri berkenaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Ahmad berkata, peranan persatuan-persatuan seni kreatif adalah teras pembangunan industri perfileman di mana FDAM, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) perlu diperkasakan.

“Wakil-wakil persatuan seni kreatif perlu dilantik dalam BOD FINAS. Calon-calon BOD mestilah individu yang tiada kepentingan perniagaan yang berkaitan perfileman,” kata beliau.

Menurutnya, menerusi perubahan dan rombakan dalam FINAS tersebut diharap ia dapat membantu pembangunan industri kreatif dengan lebih berdaya saing dan membawa Malaysia gah di persada perfileman antarabangsa.

Pada masa yang sama, beliau berharap Annuar dan Zahidi lebih mesra dan prihatin
terhadap persatuan seni kreatif dan penggiat seni.

“Sebagaimana isu ramai penggiat seni daif ketika ini kerana tidak dapat bekerja akibat sektor penggambaran tidak dibuka sepenuhnya, FDAM berharap nasib penggiat seni dapat diberi perhatian segera agar golongan ini kembali bekerja,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan