27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Erti sebuah kemerdekaan di kala pandemik

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

SEMINGGU lagi kita sambut Hari Merdeka. Oh alangkah bermaknanya erti kemerdekaan tahun ini apabila kita tidak lagi dikurung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan, boleh keluar bekerja, dine-in, beriadah dan bergerak ke sana ke sini.

Para peniaga dah boleh berjualan, masjid surau sudah dipenuhi jemaah, pejabat-pejabat kembali meriah dengan pekerja, mahasiswa dah kembali ke kampus dan anak-anak dah boleh ke sekolah tanpa ragu-ragu.

Semua itu insya-Allah akan dapat dicapai tidak lama lagi apabila proses vaksinasi penduduk negara ini sudah mencapai imuniti kelompok.

Bahkan sekarang ini pun sudah lebih 54 peratus penduduk dewasa telah mendapat vaksinasi penuh dan lebih 55 peratus keseluruhan penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Beberapa negeri seperti Labuan, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Perlis antara negeri yang sudah mencapai imuniti kelompok dan hampir seluruh penduduk sudah mendapat vaksinasi.

Terima kasih kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertungkus-lumus menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk program vaksinasi yang setakat ini sudah menampakkan kesan positif.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan Lastik! tapi inilah kenyataan yang tidak boleh kita nafikan. Usaha Perdana Menteri Kelapan yang tidak pernah putus asa biarpun diasak di kiri dan kanan.

Memang benar angka-angka jangkitan masih tinggi iaitu melebihi 20,000 kes sehari, namun melihat kes-kes kritikal kategori 3 hingga 5, jumlah pesakit yang masuk ICU kerana COVID-19 di hospital di Lembah Klang, itulah penanda kejayaan kita.

Tapi benar juga pesanan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa menerima vaksinasi penuh bukanlah tiket bagi kita untuk bebas bergerak begitu sahaja, sebaliknya perlu mengekalkan SOP yang diamalkan sebelum ini.

Advertisements

Ini kerana virus COVID-19 masih ada dalam udara persekitaran bahkan dalam badan kita cumanya kerana telah divaksin, menjadikan kita kebal terhadap serangan virus tersebut.

Jika kita telah mendapat vaksin penuh, dalam badan kita ada virus COVID-19 ia mungkin boleh menjangkiti orang sekeliling kita yang belum mendapat vaksin atau kelompok yang menolak vaksin.

Jadi mahu atau tidak SOP iaitu menjaga jarak, memakai penutup mulut, sentiasa mencuci tangan dan lain-lain perlu dikekalkan untuk tempoh yang lebih lama.

Pada masa yang sama kita juga perlu berhati-hati dengan varian-varian baharu COVID-19 seperti Delta dan Lambda serta lain-lain kerana virus tersebut sentiasa bermutasi.

Justeru penulis percaya, tidak lama lagi kita akan ‘merdeka’ daripada COVID-19 walaupun bukanlah merdeka dalam erti kata sebenar.

Tetapi sekurang-kurangnya kembali kepada normal lama sudah memadai dan yang penting rakyat bebas daripada serangan penyakit disebabkan COVID-19.

Diharapkan kerajaan baharu di bawah Datuk Seri Ismail Sabri dapat meneruskan program-program yang sudah dirancang sebelum ini dengan penambahbaikan kelemahan-kelemahan yang ada.

Kita boleh menang… kita akan merdeka daripada COVID-19!
Tak lama lagi, insya-Allah!

Lastik! – Tak sabar nak balik kampung

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan