26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

20,889 kes baharu COVID-19, virus menular dalam komuniti

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kes baharu harian COVID-19 negara melonjak tinggi melepasi angka 20,000 dengan 20,889 kes dilaporkan pada hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan hari ini.

Menurut beliau, dengan pertambahan kes baharu harian tersebut menjadikan jumlah kes positif COVID-19 mencecah 1,224,595 kes.

Beliau berkata, Selangor terus merekodkan kes baharu harian tertinggi dengan 8,792 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,483 kes), Kedah (1,371 kes), Sabah (1,291 kes) dan Johor (1,275 kes).

“Seterusnya, Negeri Sembilan (986 kes), Kelantan (938 kes), Pulau Pinang (776 kes), Sarawak (652 kes), Perak (624 kes), Pahang (610 kes), Melaka (491 kes), Terengganu (460 kes) dan Putrajaya (122 kes).

“Labuan dan Perlis pula masing-masing merekodkan sembilan kes,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pesakit sedang dirawat dan diasingkan juga terus merekodkan peningkatan kepada 221,876 kes termasuk 1,096 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 545 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Bagaimanapun, pesakit sembuh juga mencatatkan angka tertinggi dengan 16,394 kes manakala, jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 993,020 kes.

“Sebanyak 160 kes kematian COVID-19 lagi dilaporkan hari ini termasuk membabitkan 18 warga asing terdiri daripada 91 lelaki dan 69 wanita serta sebanyak 24 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID),” katanya.

Jelas beliau, daripada jumlah kes harian yang dilaporkan, sebanyak 273 kes (1.3 peratus) melibatkan kategori tiga, empat dan lima manakala, sebanyak 20,616 kes (98.7 peratus) daripada kategori satu dan dua.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID -19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 4,292 kes (20.5 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah imunisasi COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Dalam masa sama, beliau berkata, sebanyak 48 kes yang dilaporkan hari ini membabitkan kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan) dengan 36 kes atau 75.0 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Selain itu, 78 kes kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) dengan 57 kes atau 73.1 peratus tiada sejarah vaksinasi. Kategori tiga (radang paru-paru) dengan 147 kes iaitu 91 kes atau 61.9 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Bagi kategori dua (bergejala ringan), sebanyak 10,503 kes dengan 7,263 kes atau 69.2 peratus tiada sejarah vaksinasi manakala, kategori satu (tidak bergejala) pula merekodkan sebanyak 10,113 kes dengan 9,150 kes atau 90.5 peratus tiada sejarah vaksinasi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan pelaporan peningkatan kes COVID-19 negara, ia seiring dengan peningkatan kes secara global dengan kadar insiden tertinggi negara iaitu purata kes tujuh hari (31 Julai sehingga 6 Ogos) per 100,000 ribu penduduk.

Katanya, negeri-negeri tersebut terdiri Kuala Lumpur (105.7), Selangor (101.5), Putrajaya (75.6), Negeri Sembilan (71.7), Melaka (53.8) dan Kedah (51.8).

Beliau turut memaklumkan, peningkatan kes harian yang kian meningkat menunjukkan jangkitan virus COVID-19 sudah menular dalam komuniti.

“Jumlah kluster juga meningkat daripada 286 kluster dalam tempoh di antara 23 Jun hingga 6 Julai kepada 347 kluster dalam tempoh di antara 7 Julai hingga 20 Julai.

“Seterusnya kepada 401 kluster bagi tempoh di antara 21 Julai hingga 1 Ogos,”katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh sama, di dapati bilangan kluster tempat kerja juga meningkat daripada 180 kluster kepada 204 kluster dan terkini 213 kluster.

“Bilangan kluster komuniti juga meningkat daripada 86 kluster kepada 91 kluster dan terkini 142 kluster bagi tempoh tersebut dan peningkatan ini adalah susulan daripada saringan kontak rapat yang meluas,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menambah, tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat juga menyebabkan ramai menjalankan ujian kendiri atau pengesanan COVID-19 apabila bergejala atau mengetahui mereka adalah kontak rapat.

“Didapati kira-kira 70 peratus ujian RTK-Antigen dijalankan oleh agensi swasta,”katanya.

Jelas beliau, peningkatan kes juga dipercayai disumbangkan oleh penularan varian Delta dan sehingga kini sebanyak 199 kes varian Delta telah dikesan dalam komuniti.

“Varian Delta ini menyebabkan kadar jangkitan virus lebih cepat, agresif dan kurang menunjukkan respon terhadap rawatan yang diberikan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan