34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sidang khas Parlimen 8 hari, 26 Julai – 5 Ogos

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kerajaan telah bersetuju untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat dan tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.

Pejabat Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Tambah Pejabat Perdana Menteri, berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

“Mesyuarat ini akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.

Takiyuddin berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai 2021.

Seri Paduka telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021.

Titah Seri Paduka dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan media bersama, baru-baru ini.

Rais dan Azhar Azizan berkata, Seri Paduka menzahirkan titah pandangan itu ketika menerima menghadap kedua-duanya di Istana Negara, Selasa lalu.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen.

Langkah itu bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan

Seri Paduka bertitah, semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka bertitah, langkah itu perlu dilakukan untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara selepas Seri Paduka berkenan menerima menghadap Rais dan Azhar Azizan.

Pada 24 Februari lalu, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa Darurat berkuat kuasa. – EDISI 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan