26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Selesaikan kemelut secara harmoni, jangan ada ‘batu api’

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

ISU pembatalan Ordinan Darurat nampaknya sudah menjurus kepada krisis politik. Sepatutnya semua pihak bertenang dan membiarkan persoalan itu diselesaikan antara kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah.

Bagaimanapun itu tidak berlaku. Apa yang terjadi ialah keghairahan pemimpin-pemimpin politik tertentu untuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan dan ada pula yang mahu Kabinet keseluruhannya turut berbuat demikian. 

Persoalannya, adakah langkah politik itu akan menjadikan negara lebih baik ketika krisis kesihatan berikutan pandemik Covid-19 masih belum berakhir? Adakah apa yang dilakukan oleh elit-elit politik itu termasuk mereka yang begitu ghairah mahu kerajaan interim ditubuhkan akan menguntungkan rakyat?

Penulis tidak menyebelahi sesiapa, cuma sebagai rakyat biasa, apa yang diharapkan ialah isu pembatalan itu diselesaikan secara harmoni dan bukannya mengundang negara ke dalam krisis politik – yang pastinya akan menggugat kestabilan negara.

Kalau melihat kepada gelagat dan kenyataan sesetengah pemimpin politik, masing-masing sudah terlalu ghairah dan teruja untuk menangguk di air keruh sedangkan sekarang, amat tidak sesuai untuk perbalahan politik. Tidak salah untuk memberi pandangan atau kritikan, tetapi jangan melakukan tindakan yang hanya memburukkan keadaan.

Sepatutnya ruang diberikan kepada kerajaan untuk menyelesaikan kemelut tersebut dengan tenang supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha memerangi penularan Covid-19. Pandemik tersebut adalah masalah serius yang sedang dihadapi oleh negara.

Rakyat berada dalam kesusahan, kehidupan mereka tergugat, ramai yang hilang pekerjaan dan mata pencarian. Justeru adalah tidak wajar sama sekali jika mereka terpaksa pula menyaksikan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan.

Cukuplah mereka menontonnya pada awal tahun lalu, tak kanlah ketika Covid-19 inipun, masih ada elit-elit politik mahu terus berpolitik yang menjuruskan kepada perebutan kekuasaan.

Atas sebab itulah, harapan rakyat adalah isu yang berbangkit diselesaikan dengan harmoni. Janganlah ada juak-juak politik yang cuba menjadi ‘batu api’ bagi melaga-lagakan antara kerajaan dan pihak Istana. Semua itu tidak akan menguntungkan rakyat dan negara.

Seri Paduka sendiripun mahukan tumpuan diberikan kepada usaha menyelesaikan isu-isu berhubung masalah rakyat tetapi impian Seri Paduka itu tidak akan tercapai jika ada ahli-ahli politik sudah tidak sabar lagi mahu berkuasa kembali atau mahu menjatuhkan kerajaan serta Perdana Menteri yang penulis percaya pasti akan menimbulkan masalah baru.

Adalah lebih baik tumpuan diberikan kepada usaha memerangi Covid-19. Inshaallah, dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi kita akan dapat imuniti kelompok, mungkin selepas itu membubarkan Parlimen boleh dipertimbangkan. Tetapi kalau sekarang kerajaan dijatuhkan keadaan negara akan menjadi bertambah parah.

Cakap memang mudah dengan istilah mandat terhad, tempoh tertentu, interim dan sebagainya tetapi dari segi pelaksanaan, belum tentu ia akan selancar sepertimana dirancang.

Negara kini sudah berada di landasan yang betul untuk melaksanakan pemulihan, janganlah dirosakkan perjalanan ini hanya disebabkan oleh nafsu politik mahupun dendam politik.

Bersabarlah menanti pilihan raya, kalau benar merasakan parti atau pemimpin kita akan mendapat sokongan rakyat. Buat masa ini izinkan kerajaan sedia ada melaksanakan tugas dan tanggungjawab menguruskan negara tanpa diganggu gugat dengan polemik politik.

Kesimpulannya, demi kesejahteraan dan negara semua pihak perlu berlapang dada. Rakyat dan negara harus diberikan keutamaan dan diletakkan pada paras tertinggi, bukannya merebut kuasa atau mengambil kesempatan mahu menjatuhkan mana-mana pemimpin. Itu bukan caranya.

Oleh itu diharapkan ahli-ahli politik yang sekarang begitu ghairah ‘menyerang’ kerajaan dan Perdana Menteri dengan menggunakan isu pembatalan Ordinan Darurat tidak terus meletakkan negara dalam keadaan tegang. Ia memandangkan yang akan menjadi mangsa bukannya mereka tetapi rakyat. – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan