28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rais dilantik Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 15 Julai 2021 hingga 14 Julai 2024.

Pelantikan beliau dan enam ahli JKMR yang lain telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan media hari ini berkata, pelantikan tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Kesemua yang dilantik adalah terdiri dalam kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti kerajaan dan parti pembangkang.

Ahli-ahli JKMR yang baru dilantik ialah empat Ahli Dewan Negara iaitu Senator Ir Md Nasir Hashim, Senator Raj Munni Sabu, Senator Idris Ahmad, Senator Zaiedi Suhaili serta dua Ahli Parlimen iaitu Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) dan Wong Hon Wai (Bukit Bendera).

Muhyiddin Yassin bersama Rais Yatim dan enam ahli JKMR yang baru dilantik. – Gambar: Facebook Parlimen Malaysia

SPRM menambah, Ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.

Suruhanjaya berkenaan memberitahu, selain itu, JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang perjalanan oleh suruhanjaya ini akan fungsi di bawah Akta SPRM 2009 dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan LPPR.

“Semoga dengan pelantikan ahli JKMR dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya,” jelas SPRM.

Surat cara pelantikan bagi ahli JKMR tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Rais dalam kenyataan media hari ini, berkata, beliau dan ahli-ahli JKMR yang lain menjunjung kasih Seri Paduka atas perkenan lantikan tersebut.

“Pelantikan baharu ahli jawatankuasa khas ini untuk tempoh tiga tahun, yang dianggotai tujuh ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, dengan merentasi sempadan parti juga merupakan manifestasi kepada komitmen berterusan Perdana Menteri dan kerajaan untuk membasmi rasuah,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan