MUALLIM – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama JIMNY@TGM, menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada 50 keluarga di sekitar daerah ini.
Menurut Penghulu, Mohd Isa Hamid, kesemua keluarga yang menerima sumbangan adalah terdiri daripada mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19, sama ada melibatkan kekangan sumber pendapatan, kehilangan pekerjaan dan pelbagai lagi kesulitan lain yang dihadapi akibat COVID-19 ini.
“Sesi penyerahan bantuan itu dilaksanakan di Pejabat Penghulu Daerah Muallim tanpa melibatkan sebarang pergerakan dari rumah ke rumah penerima sumbangan, malah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya di sini, baru-baru ini.
Penyerahan sumbangan amal itu disempurnakan oleh Pengarah Pusat Islam UPSI merangkap Pengerusi Masjid Al-Mursyidin UPSI, Muhammad Tarmizi Abd Rahman.
Muhammad Tarmizi berkata Pusat Islam adalah salah satu Pusat Tanggungjawab di UPSI yang aktif menjalankan program berunsur hal ehwal Islam dan khidmat kemasyarakatan.
Menurut beliau, Pusat Islam UPSI bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada warga UPSI, malah melebarkan peranannya bersama komuniti setempat khususnya kepada warga daerah Muallim.
“Pada program kali ini, Community Service Responsibility (CSR) 2.0, Pusat Islam meneruskan kerjasama dengan JIMNY@TGM melalui aktiviti Bantuan Amal Muallim,” katanya.
JIMNY@TM yang diwakili Prof Madya Dr Mohd. Azlan Hanafiah adalah kumpulan yang membabitkan kakitangan UPSI yang aktif menganjurkan program-program amal menggunakan medium kenderaan utiliti sukan (SUV).
Mohd Azlan berharap program seumpama itu dapat diperhebatkan lagi dari semasa ke semasa bagi menzahirkan keprihatinan dan tanggungjawab sesama masyarakat. – EDISI 9