27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Penambahbaikan pengurusan, operasi TH demi junjung integriti

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan menjunjung nilai integriti dan tadbir urus berasaskan lapan prinsip utama yang digariskan United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, oleh kerana TH diamanahkan untuk menjaga wang lebih 8.3 juta pendeposit, pengoperasian agensi itu perlulah dilaksanakan dengan jujur, amanah dan berintegriti.

“Pemusatan kuasa yang terlalu besar ke atas suatu individu atau pihak, bagi institusi kewangan terbesar umat Islam ini, dikhuatiri boleh membuka jalan kepada ketidakcekapan tadbir urus yang bakal membawa mafsadah besar kepada TH.

“Oleh itu, perlunya satu kawalselia dari badan yang berkepakaran seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan TH kekal pada landasannya,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata, pelaksanaan model baharu operasi TH itu juga adalah untuk menambahbaik tadbir urus dan model perniagaan TH dan akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan TH.

“Ini bagi memastikan TH sentiasa mampan dalam menguruskan ibadah haji umat Islam di Malaysia, di samping melaksanakan perniagaan dan pelaburan bagi memberikan potensi pulangan yang baik untuk pendeposit, sekaligus menjana ekonomi umat Islam.

“Pun begitu, saya menegaskan bahawa kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke atas TH, selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995 akan terus kekal, terutamanya dari segi operasi dan penyelarasan jemaah haji.

Advertisements

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan terus kekal sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi TH bagi memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara,”katanya.

Jelas beliau lagi, pengawalseliaan BNM ke atas TH sama sekali tidak akan menghakis hak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan umat Islam ke atas TH.

“Ini kerana setiap institusi kewangan yang dikawalselia BNM mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh terus mengekalkan punca kuasa sedia ada, seperti Bank Rakyat yang masih di bawah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi walaupun dikawalselia oleh BNM.

“Justeru, saya mengharapkan agar semua umat Islam dapat memberikan kepercayaan kepada saya, Kementerian Kewangan dan Kerajaan dalam melaksanakan penambahbaikan ke atas TH.

“Sesungguhnya TH mempunyai signifikan yang besar ke atas umat Islam. Perkara yang utama adalah untuk memperkasa TH serta berada dalam situasi tadbir urus yang diyakini tanpa sebarang keraguan.

“Kami akan terus memastikan hak umat Islam kekal terpelihara melalui penambahbaikan operasi TH. Semoga TH terus maju dalam menguruskan amanah umat Islam dan bakal jemaah haji Malaysia,” katanya.-  Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan