24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Op Bantu: 50,000 bakul makanan diedar segera melalui IPD

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 50,000 bakul makanan akan diagihkan ke seluruh negara di bawah program Op Bantu yang disalur melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Op Bantu bertujuan memberikan bantuan segera kepada mana-mana individu yang terputus bekalan makanan melalui ibu pejabat polis (IPD) masing-masing.

Menurut beliau, Op Bantu dijalankan dengan kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta syarikat-syarikat korporat.

“Pelaksanaan pertama Op Bantu akan bermula di seluruh negara dengan melibatkan agihan sebanyak hampir 50,000 buah bakul makanan dengan segera.

“Di peringkat lapangan, Op Bantu akan diketuai oleh 157 Ketua Polis Daerah di seluruh negara dan melibatkan Skuad Aman Wanita (AMANITA) di bawah PDRM serta anggota RELA di peringkat daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Op Bantu yang diadakan secara maya hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Advertisements

Sehubungan itu, Hamzah berkata, semua IPD akan dijadikan pusat pengagihan dan penyimpanan bantuan bekalan makanan yang disalurkan melalui operasi tersebut.

Katanya, anggota RELA di lapangan akan ditugaskan untuk melakukan rondaan bagi mendapatkan maklumat dan menyalurkan bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan bantuan segera

“Mana-mana individu yang terputus bekalan makanan diminta hadir ke IPD berdekatan untuk mendapatkan bantuan segera.

“Bagi individu yang tidak dapat hadir ke IPD berdekatan, mereka diminta menghubungi IPD berhampiran melalui talian rasmi IPD atau melalui talian Whatsapp khas Op Bantu yang akan diumumkan.

“Skuad AMANITA dan anggota RELA di lapangan akan ditugaskan untuk menyampaikan bantuan segera,” katanya.

Hamzah berkata, semua maklumat yang diterima oleh IPD dan RELA akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tindakan lanjut dan bagi mengelak masalah pertindihan maklumat di peringkat pelaksanaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan