CYBERJAYA – Seorang pemuda dari Kelantan tidak menyangka mendapat ‘durian runtuh’ daripada seorang menteri Kabinet, semalam.
Wan Mahussin Wan Zain menerima RM500 untuk sebiji durian kampung yang dibeli oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Durian kampung yang ‘dijual’ oleh Wan Mahussin sememangnya agak istimewa kerana buah itu gugur tanpa menyentuh tanah.
Bunyinya seperti tidak masuk akal namun kejadian itu benar-benar berlaku.
Sebenarnya, durian tersebut gugur dari pokok di hadapan rumah Wan Mahussin dan terus menimpa cermin belakang keretanya.
Dia seterusnya merakamkan video jualan durian kampung istimewa bernilai RM500 yang seterusnya tular melalui Facebook.
Dipercayai, wang tersebut diperlukan bagi menggantikan cermin belakang yang baharu untuk keretanya.

Dalam hantaran Facebook semalam, Wan Mahussin berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
Dia memberitahu, individu berkenaan ingin membeli durian viral yang menimpa cermin keretaya.
“Saya jawab yang saya dah makan dan tanya tuan daripada mana?
“Beliau jawab daripada kerajaan, terkejut jugak, bila disemak, Rupa-rupanya YB Datuk Seri Saravanan Murugan, Menteri Sumber Manusia.
“Beliau minta nombor akaun dan sumbang untuk menampung kos… Rezeki saya hari ini,” katanya.
Wan Mahussin turut memaklumkan dia ditawarkan peluang menjadi pempengaruh untuk Durian Mochi.
“Memang betul rezekinya jika kita bersangka baik dengan Allah. Allah nak ganti rezeki saya dengan ujian cermin kereta pecah.
“YB Menteri Datuk Seri M Saravanan bantu dan semalam saya ditawarkan menjadi salah satu influencer #DurianMochi… Mohon doa semuanya.. 😍😍😍” katanya.

Difahamkan, ramai juga netizen yang pada mulanya mengecam Wan Mahussin kerana menjual durian kampung pada harga RM500 sebiji.
Mungkin mereka tidak memahami apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh pemuda tersebut dalam video yang tular itu.
Netizen terbabit juga sepatutnya mengubah sikap mereka dan tidak sekadar membaca tajuk sahaja bagi memahami maksud kandungan yang disampaikan dalam tulisan atau video yang tular melalui media sosial.
Mujurlah Saravanan tampil membantu bagi menampung kos menukar cermin belakang kereta Wan Mahussin yang pecah akibat ditimpa ‘durian runtuh’. – EDISI 9