30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Malaysia hargai sumbangan Arab Saudi – Hishammuddin

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kerajaan Arab Saudi menyumbangkan kepada Malaysia sebanyak 4.5 juta unit peralatan perubatan bagi menangani pandemik COVID-19 dan sejuta dos vaksin jenis AstraZeneca dengan nilai keseluruhan AS$5 juta (RM21.15 juta).

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pemberian secara percuma itu menandakan satu lagi detik yang istimewa dan bersejarah bagi hubungan Malaysia-Arab Saudi.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada kerajaan Arab Saudi atas tindakan yang amat responsif bagi memastikan sumbangan ini dapat diserahkan hanya selang beberapa hari selepas Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sendiri menitahkan supaya King Salman Centre for Relief and Humanitarian Action (KSRelief) segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan demi membantu negara kita menangani cabaran pandemik ketika ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, keprihatinan berterusan Raja Salman terhadap negara ini serta kesungguhan kerajaan Arab Saudi dalam menjunjung titah baginda baru-baru ini benar-benar membuktikan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama-sama Malaysia di era pandemik yang serba mencabar ini.

Selain vaksin yang bakal dibekalkan kemudian, peralatan perubatan yang diterima termasuk 100 ventilator, 150 ventilator mudah alih, 319 penumpu oksigen, 30 alat bantuan pernafasan, 100 ventilator mudah alih guna habis, 150 katil hospital elektrik, 52 monitor isyarat penting.

Selain itu, sumbangan merangkumi tiga juta pelitup muka pembedahan, sejuta pelitup muka N95 / K95, 500,000 sarung tangan getah, 180 oksimeter nadi, 50 pam infusi intravena, 50 pam cecair intravena, tujuh defibrilator, lima videolaringoskop, lima elektrokardiograf (ECG) dan 10,000 peralatan perlindungan peribadi (PPE).

“Ini bukan kali pertama kerajaan Arab Saudi menghulurkan bantuan COVID-19 kepada Malaysia.

“Arab Saudi merupakan antara negara terawal yang tampil menyalurkan sumbangan iaitu kira-kira lapan juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia pada Mei tahun lalu.

“Ditambah sumbangan terbaharu kali ini, ia sekali gus menjadikan Arab Saudi penyumbang terbesar bantuan COVID-19 kepada Malaysia setakat ini,” jelasnya.

Hishammuddin berkata, Malaysia sentiasa mendoakan, semoga hubungan baik yang telah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara ini terus utuh dan berkekalan seterusnya membawa pelbagai lagi manfaat bersama pada masa yang akan datang.

Kesemua peralatan perubatan tersebut dihantar melalui tiga pesawat Saudia Airlines yang tiba di Malaysia semalam dan hari ini.

Pada 25 Julai lalu, Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman telah menitahkan KSRelief memberi bantuan bekalan perubatan segera termasuk sejuta dos vaksin kepada Malaysia bagi membantu menangani cabaran yang timbul akibat pandemik COVID-19.

Ketua Penyelia KSRelief merangkap penasihat Istana Arab Saudi, Abdullah Al-Rabeeah berkata, titah Raja Salman itu menggambarkan hubungan yang sangat erat antara dua negara. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan