27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ivermectin boleh sebabkan ruam teruk, rosak hati – KKM

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Walaupun sudah beberapa kali ditegaskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun orang ramai terus mendesak agar kerajaan membenarkan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 dan mencegah wabak tersebut.

Hari ini KKM sekali lagi tampil menjelaskan bahawa ubat anti-parasit itu tidak cukup bukti yang ia boleh menyembuhkan pesakit Covid-19, sebaliknya penggunaannya boleh menyebabkan kesan sampingan.

Antara kesan sampingan ialah ruam kulit yang teruk yang mungkin memerlukan rawatan di hospital, mual, muntah, cirit-birit, sakit perut, bengkak di muka atau anggota badan lain.

Selain itu, ia juga menyebabkan kesan sampingan pada saraf seperti pening, sawan atau kekeliruan, penurunan tekanan darah secara tiba-tiba dan kerosakan hati.

Justeru, KKM berkata, pihaknya hanya membenarkan penggunaan ubat anti-parasit itu secara off-label iaitu penggunaan di luar indikasi yang diluluskan oleh KKM, termasuk dengan pemantauan rapi oleh doktor yang bertauliah.

“Setakat ini, hasil kajian klinikal tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa Ivermectin boleh merawat atau mencegah Covid-19. Hanya vaksin terbukti untuk mencegah Covid-19,” kata kementerian itu menerusi ciapan di twitter hari ini.

KKM berkata demikian bagi membalas desakan orang ramai agar kerajaan menggunakan Ivermectin bagi mengubati pesakit Covid-19, sekali gus dapat mengurangkan jumlah jangkitan harian yang kini hampir mencapai 10,000 kes sehari.

Desakan itu bukan sahaja datang daripada kalangan orang awam, malahan juga doktor-doktor perubatan juga mencadangkan agar kerajaan menggunakan ubat yang digunakan pada haiwan itu untuk merawat pesakit Covid-19.

Antaranya, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud yang mendakwa seorang pensyarah yang dikenalinya telah mengambil Ivermectin kerana terdesak selepas beliau suami isteri positif pesakit tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang itu mendakwa, pasangan tersebut bukan sahaja selamat tetapi juga tiada kesan sampingan selepas mengambil ubat anti-parasit berkenaan.

Malah Siti Mariah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam negeri turut mempersoalkan “kajian” yang telah dilakukan oleh KKM untuk membuktikan keberkesanan Ivermectin kepada Covid-19.

Awal Jun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM sedang mengkaji penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit COVID-19 kategori 2 dan 3.

Beliau berkata, untuk permulaan KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) telah memulakan ujian klinikal (Randomised Control Trial) di 12 hospital kementerian itu.

Menurut beliau, ia bagi mengkaji kesan penggunaan Ivermectin berbanding rawatan standard yang diberikan kepada 500 pesakit COVID-19 kategori 2 dan 3 yang berisiko tinggi dan berumur 50 tahun ke atas.

“Ia bertujuan mengkaji keberkesanan Ivermectin dalam mencegah pesakit COVID-19 ini daripada menjadi lebih serius (kategori 4 dan 5) dan mengurangkan kematian.

“Kajian ini telah diberi kelulusan oleh Jawatankuasa Kajian dan Etika (Medical Research and Ethics Committee – MREC), KKM pada 25 Mei 2021,” katanya.

Sehingga kini Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) masih belum meluluskan penggunaan Ivermectin untuk merawat Covid-19 walaupun pelbagai pihak di seluruh dunia mendakwa keberkesanannya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan