30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Doktor, farmasi lantikan kontrak ditawar COS selama dua tahun

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kabinet hari ini bersetuju agar para pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak ditawarkan perkhidmatan secara kontrak (contract of service – COS) selama dua tahun, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Perdana Menteri, tawaran tersebut diberikan kepada mereka yang telah melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan mengikuti pengajian kepakaran.

Beliau berkata, Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak maksimum empat tahun bagi para pegawai perubatan dan pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Langkah ini, kata Muhyiddin, bagi memastikan pegawai-pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

“Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

“Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Kabinet bersetuju
agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya
pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan
pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah
Latihan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membentangkan kertas cadangan kepada Mesyuarat Kabinet pada 14 Julai lalu berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak tersebut.

Katanya, kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan
berstatus kontrak ini dan sedar bahawa sumbangan dan peranan mereka
sebagai barisan hadapan adalah amat penting dalam memberikan
perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam
situasi pandemik COVID-19

“Bagi memastikan perkara ini diberikan perhatian penuh dan ditangani secara menyeluruh serta lebih berkesan, saya telah mengarahkan KKM dan kementerian serta agensi yang berkaitan merangka sebuah pelan komprehensif dan inklusif merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Kata Muhyiddin, keputusan-keputusan tersebut akan memberi ruang kepada Kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

“Kerajaaan amat menghargai sumbangan para doktor sebagai barisan
hadapan dalam berhadapan perang COVID-19 dan kerajaan akan terus
komited untuk memastikan kebajikan dan laluan kerjaya Pegawai
Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak
diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan