32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Coretan Adha yang sepi tapi bererti – kisah Rumah Prihatin

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh ANNUAR MUSA

HARI pertama saya lawati bangunan Hotel Grand Season Kuala Lumpur  yang sudah dua tahun tidak beroperasi, saya buntu. Tidak tahu apa yang boleh saya lakukan.

Sahabat lama saya, Datuk Arif Shah memberitahu saya, tuan punya bangunan bersedia serahkan bangunan untuk saya gunakan bersama 300 bilik dan lain-lain fasiliti.

Saya pada asalnya mencari tempat untuk memasak sahaja kerana saya berhasrat mewujudkan dapur berpusat untuk memberi makan kepada golongan miskin dan gelandangan.

Saya sedang membimbing lebih 200 gelandangan yang kita selamatkan dari sekitar Kuala Lumpur.

Kerja-kerja menyiapkan makanan di Rumah Prihatin@Grand Seasons. – Sumber: Facebook

Idea ini terbit selepas saya berborak santai, bertukar pandangan dengan Ustaz Ebit Liew dan Uncle Kentang. Saya kagum dengan kegigihan  mereka. Saya teringin berbuat sesuatu yang sama, kalaupun tak sebanyak mereka bersama NGO dan sukarelawan yang ada.

Beberapa hari saya buntu, kemudiannya amat bersyukur saya kerana Allah SWT makbul doa saya dengan mendapat peluang lebih besar daripada apa yang saya impikan.

Jika sebelum ini saya dapat wujudkan Anjung Kelana untuk gelandangan dan mengeluarkan wang saku sendiri untuk wujudkan Urban bagi melatih gelandangan, kali ini Insya-Allah berpeluang membantu lebih ramai, walaupun tanpa bajet yang khusus untuknya.

Ketika itu saya baru wujudkan sukarelawan prihatin dan bank makanan, masa pula amat suntuk dengan program vaksinasi bergerak truck@mymedic kerana saya berazam nak beri suntikan kepada semua warga Wilayah Persekutuan secepat mungkin.

Kemudian datang pula masalah di Labuan yang menghadapi jangkitan meluas serta VOC khususnya varian Delta. Semua masalah datang serentak. Semuanya mahu saya lawan tanpa rasa lelah atau mengalah.

Saya juga mempengerusikan mesyuarat Pusat Pengurusan dan Koordinasi Covid-19 (CCMC) Wilayah Persekutuan, dua tiga kali seminggu sejak April 2020. Hanya Allah SWT yang tahu, betapa sukar mengurus pandemik dan melawan musuh yang tidak nampak.

Namun bila saya lihat komitmen para pegawai dan petugas hadapan yang luar biasa, semangat turut membara.

Sebahagian sukarelawan dari NGO yang membantu menguruskan Rumah Prihatin@Grand Seasons

Akhirnya datanglah ilham untuk mewujudkan Rumah Prihatin@Grand Seasons. Saya menulis surat rasmi kepada tuan punya bangunan dan terangkan idea saya.

Saya cadangkan untuk laksana enam program menggunakan bangunan yang ada dan akan laksanakan bersama melalui tiga NGO atau yayasan yang saya asaskan atau saya kendalikan iaitu YWP, YKK dan PERMAI serta satu NGO yang sahabat saya Datuk Ariff Shah pimpin.

Alhamdulillah, beberapa hari kemudian saya mendapat jawapan hitam putih daripada pemilik bangunan, memberi persetujuan kepada cadangan saya itu.

Saya bernasib baik kerana di Putrajaya kita ada hotel milik Perbadanan Putrajaya, Hotel Pulse Grande Putrajaya. Saya segera meminta bantuan kepakaran mereka untuk menguruskan Grand Seasons dan membimbing para sukarelawan Rumah Prihatin@Grand Seasons

Dengan bantuan mereka, dalam masa dua minggu, semua persiapan dapat disiapkan.

Kini Rumah Prihatin@Grand Seasons menjadi markas enam aktiviti utama membantu rakyat di Wilayah Prihatin.

Hari ini Hari Raya Aidiladha yang paling sunyi buat saya. Saya tidak boleh ke mana-mana. Namun saya bersyukur kerana di Rumah Prihatin tiada cuti, tiada rehat, program kami terus berjalan.

Setiap hari ribuan dapat kita santuni, beri makanan, beri bantuan, beri bimbingan, beri suntikan, beri penginapan dan sebagainya.

Sesungguhnya berkorban itu satu kemuliaan. Ia memberi hati yang lapang, jiwa yang tenang kerana kita bersedia berkongsi kesusahan. Semoga Allah SWT permudahkan usaha kalian.

Selamat Hari Raya Korban. Berkorban untuk kejayaan, Insya-Allah.

  • Tan Sri Annuar Musa adalah Menteri Wilayah Persekutuan. Tulisan ini dipetik dari Facebook beliau.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan