CYBERJAYA – Tan Sri Annuar Musa tampil mengesahkan bahawa kenyataan media yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung sokongan 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada Kerajaan Perikatan Nasional semalam adalah benar.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, ia adalah hasil pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen terbabit di Tingkat 3, Bangunan Baru Parlimen dengan lima daripadanya telah memberi mandat kerana tidak dapat hadir ekoran berada di luar negara, dikuarantin atau uzur.
Sebaliknya, beliau berkata, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz dianggap tidak cermat.
“Saya mengesahkan kenyataan YAB TPM (Timbalan Perdana Menteri), yang dikeluarkan selepas pertemuan 40 orang Ahli Parlimen BN (termasuk lima orang yg telah memberi mandat walau tak dpt hadir kerana di luar negara/kurentin/uzur) adalah benar dan tulin.
“Sebaliknya kenyataan tidak cermat Setiausaha Eksekutif BN, yang cuba menafikan keujudan dan kesahihan kenyataan itu AMATLAH DI KESALI,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Annuar berkata, Ahli-ahli Parlimen BN berhak membuat pendirian mereka, dan ia di buat selepas satu konsensus dicapai dalam pertemuan yang pada pukul 5.30 petang itu.
Semalam, kenyataan media BN atas nama Ismail Sabri menyebut 40 ahli Parlimennya termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ismail Sabri memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan satu perjumpaan bersama seramai 40 orang Ahli-Ahli Parlimen BN.
Bagaimanapun, Najib tidak memberi maklum balas jelas berhubung perkara itu walaupun namanya telah dikaitkan dalam perjumpaan tersebut.
Sebaliknya beliau hanya berkongsi kenyataan media oleh Setiausaha Eksekutif yang menafikannya sekali gus mencetuskan tanda-tanya dalam kalangan penyokong parti itu. – Edisi 9