Oleh MOHD AZRONE SARABATIN
KOTA KINABALU – Konsep gerai tanpa jurujual yang beroperasi di beberapa daerah di Sabah mungkin sesuai dipraktikkan untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelanggan dan penjaja kecil.
Konsep ini juga memudahkan pekebun kecil menjual hasil tanaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang menghalang mereka ke pekan atau pasar tani.
Gerai tanpa jurujual memerlukan pembeli ikhlas dengan memasukkan duit mencukupi ke dalam tabung atau tin disediakan penjaja mengikut harga sayur-sayuran dan buah-buahan yang dibeli.

Jika terlebih bayar perlu ikhlas menjadikannya sumbangan atau sedekah kepada penjual terbabit.
Konsep gerai tanpa jurujual yang menjual sayur-sayuran dan buah-buahan sebenarnya perkara biasa di beberapa daerah di Sabah pada era 1980-an seperti Kota Belud, Kota Marudu, Tawau dan Sandakan.
Ketika ini ada beberapa kampung masih mengamalkannya seperti Kampung Iban di Merotai, Tawau dan Pekan Muhibbah di Sandakan, manakala di bandar raya ini turut dipraktikkan penjaga Bukit Janggut di Sepanggar.
Bagi penjaga Bukit Janggut, Jaining Isin, 65, beliau hanya meletakkan tabung diperbuat daripada tin yang tertulis perkataan ‘Tabung Sumbangan Ikhlas Bukit Janggut’ untuk memudahkan pendaki menderma secara ikhlas.
Katanya, terserah kepada pendaki seberapa banyak yang mereka sumbangkan kerana duit berkenaan kemudiannya digunakan untuk penyelenggaraan dan pembersihan laluan ke atas bukit berketinggian 860 meter itu.

Ditanya, sama ada beliau memasang kamera litar tertutup (CCTV) atau ‘guris’ (ilmu pendiding) untuk menghalang pencuri mencuri duit dalam tabung, katanya, terserah kepada pendaki atau masyarakat sama ada mempercayai kewujudan kedua-duanya atau sebaliknya.
“Saya ada mendengar cerita pencuri muntah darah atau cirit-birit kerana mencuri barangan dijual di gerai tanpa jurujual di Tawau, Pitas dan Kota Marudu suatu masa dulu.
“Sebagai seorang Islam saya percaya setiap kebaikan akan dibalas kebaikan, begitu juga sebaliknya.
“Pendaki perlu ikhlas, begitu juga mereka yang berniat mencuri duit sumbangan pendaki perlu membatalkan niat mereka kerana ia dilarang bukan sahaja oleh Islam, malah agama lain,” katanya.

Jaining berkata, di Bukit Janggut walaupun ada sehelai baju diletakkan berhampiran tabung, ia bukan pengawal tetapi sebagai simboilik tempat itu ada pemiliknya dan perlu mematuhi peraturan seperti memberi sumbangan ikhlas dan tidak mengambil sembarangan jualan seperti minuman tin yang ada di atas rak.
Mengenai kemungkinan ada pihak yang mengambil duit dalam tabung disediakan, beliau berkata, sukar dibuktikan kerana mereka yang menderma tidak perlu mencatat jumlah berkenaan serta tiada buku log mengenai jumlah sumbangan disediakan.

Sementara itu, Jaining berkata kegiatan mendaki Bukit Janggut agak perlahan berikutan PKP dan pihaknya berharap kegiatan itu dibenarkan semula kerana ia membabitkan riadah tanpa bersentuhan dan mengutamakan penjarakan fizikal.
“Ketika ini kegiatan mendaki agak berkurangan berbanding sebelum ini, misalnya mengikut rekod MySejahtera yang dipasang di kaki bukit, seramai 2,564 pendaki direkodkan sepanjang Januari hingga Mac lalu, iaitu sebelum PKP dilaksanakan. – EDISI 9