25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Usah kibar bendera putih, kita masih ada kekuatan – Pas Pahang

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pas Pahang tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pihak yang mencadangkan mereka yang menghadapi kesempitan hidup agar memasang bendera putih di hadapan rumah masing-masing.

Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar berkata, tindakan tersebut akan mengundang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kesusahan orang lain.

Beliau berkata, tindakan tersebut juga dianggap mencemar maruah diri dan ummah selain ada pelbagai cara dan kaedah lain untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan tanpa mengaibkan mereka.

“Jangan angkat bendera putih, macam orang kalah perang, kita masih ada kekuatan, kibarkan panji Islam dengan kibaran Syiarnya Islam sebagai agama yang saling membantu,” katanya seperti dilapor Harakah Daily hari ini.

Gerakan ‘kibar bendera putih’ telah diusahakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenal pasti orang ramai yang menghadapi kesusahan hidup sepanjang pandemik Covid-19 untuk diberikan bantuan.

Rosli berkata, wakil-wakil rakyat baik ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepatutnya membuka bilik operasi bantuan dan membuka talian operasi sepanjang tempoh pandemik sekali gus menjadi penyelaras kepada organisasi yang diamanahkan untuk menyalurkan bantuan.

“Organisasi komuniti masyarakat seperti JKKR, KRT, Kejiranan dan seumpamanya juga mesti membuka bilik operasi bantuan untuk orang yang terputus bekalan makanan, juga menyediakan khidmat penghantaran bagi yang tiada kenderaan

“Masjid atau surau mesti berperanan sebagai pusat bantuan rakyat sama ada dengan dana bantuan kerajaan atau masjid atau surau atau Majlis Agama atau Pusat Zakat, dan bantuan orang ramai.

“Bagi yang bukan-Islam juga boleh dilaksanakan di kuil atau tokong atau gereja dan mana-mana pusat komuniti mereka,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur berkata, talian operasi tersebut perlu diketahui oleh komuniti dengan apa juga cara sebaran.

Manakala mereka memerlukan bantuan boleh datang atau menghubungi talian operasi atau berdasarkan data maklumat sehingga mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Katanya, kaedah itu juga dapat mengelak orang ramai datang berulang kali sehingga rumah mereka menjadi stor menyimpan barang sumbangan, sekali gus ianya dapat memelihara maruah.

Katanya, untuk DUN Tanjung Lumpur, talian operasi untuk rakyat yang terputus bekalan makanan boleh menghubungi Ameerah di talian 011-59897556. – Edisi 9

Terkini

Parlimen Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama sehingga 2025. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri...

Lagi Artikel Berkaitan