26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Segerakan vaksinasi pengamal media luar Lembah Klang

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Inisiatif pemberian vaksin bagi pengamal media seharusnya diperluaskan ke seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di sekitar Lembah Klang sahaja.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, terdapat laporan dari kesatuan sekerja terkait bidang kewartawanan yang menyatakan pengamal media di beberapa negeri seperti di Johor, Kedah, Melaka dan Perak masih belum mendapat janji temu vaksinasi.

Menurut beliau, ARMADA menggesa untuk dipercepatkan proses tersebut selain Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) memberi fokus sepenuhnya kepada senarai nama pengamal media, terutamanya yang berada di lapangan bagi mendapatkan suntikan dalam kadar segera.

“Hakikatnya kelewatan untuk pengamal media ini adalah suatu yang tidak wajar berlaku, kerana peranan media selaku barisan hadapan, tidak dapat ‘dunia’ nafikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada masa yang sama, Mohd Ashraf memberitahu, Armada menyambut baik inisiatif kerajaan yang telah mula menggerakkan pemberian vaksin dos pertama kepada pengamal media.

Beliau menambah, langkah yang diambil kerajaan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan atas hak para rakan media untuk menjalankan tugas mereka dengan selamat.

“Kita tidak boleh menafikan peranan media selaku ‘frontliners’ atau petugas barisan hadapan adalah begitu penting atas keperluan masyarakat negara untuk terus disajikan dengan berita serta informasi terkini yang lebih beretika dan tepat.

“Biarpun dalam situasi pandemik ini, ketetapan aturan kehidupan bukanlah semuanya berlaku secara maya,” jelasnya.

Mohd Ashraf berkata, masih terdapat kejadian yang perlu dilaporkan memperuntukkan kehadiran secara fizikal kalangan para wartawan, jurugambar serta segenap cabang skop pekerjaan pengamal media.

“Pertemuan secara fizikal ini benar-benar membahayakan keselamatan para rakan media,” ujarnya.

Program pemberian vaksin kepada pengamal media yang bertugas di sekitar Lembah Klang telah dimulakan semalam.

Difahamkan, lebih 4,000 pengamal media yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan juruvideo terlibat dalam program vaksinasi tersebut.

Sebelum ini, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mencadangkan agar pengamal media yang masih belum menerima suntikan vaksin yang lengkap dua dos tidak bertugas di lapangan bagi mengelakkan risiko dijangkiti COVID-19. – EDISI 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan