32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pengambilan guru terbuka boleh jejas kualiti pendidikan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pengambilan secara terbuka guru baharu yang sebahagiannya turut merangkumi golongan bukan graduan pendidikan dikhuatiri akan menjejaskan kualiti pendidikan di negara ini.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, walaupun Kementerian Pendidikan mempunyai niat dan usaha yang baik untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru, strategi yang digunakan adalah tidak sesuai.

Menurut beliau, inisiatif itu dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada struktur dan kualiti keguruan.

“Pertama, kualiti pendidikan akan terjejas bila graduan bukan ijazah pendidikan mula mengajar tanpa kemahiran pedagogi.

“Keduanya, lambakan graduan pendidikan yang lebih serius di masa hadapan. Ini akan memberi kesan kepada kewujudan institusi pendidikan guru (IPG) dan fakulti pendidikan di universiti awam seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan, masalah kekurangan guru di seluruh negara dapat diatasi melalui pengambilan khas seramai 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41 secara serentak.

Antara negeri-negeri yang didapati berdepan masalah kekurangan guru adalah Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Radzi memberitahu, iklan pengambilan guru baharu akan disiarkan pada 7 Julai ini dan penempatan secara berperingkat bakal dimulakan pada Oktober.

Anuar menambah, kesediaan Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menerima graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan DG41 adalah sangat mengecewakan.

Beliau memberitahu, sepatutnya hanya graduan bidang pendidikan sahaja yang layak memohon dan diterima untuk mengisi 18,702 jawatan baharu tersebut.

“Analoginya, bolehkah kita mengambil graduan bidang lain untuk menjadi doktor, peguam atau jurutera? Mengapa dalam profesyen keguruan ini dibenarkan?

“Bukankah ini satu tindakan yang tidak profesional dan akan menjejaskan kualiti keguruan negara? Apakah ibubapa bersedia anak-anak mereka diajar oleh seorang guru yang tiada langsung latar belakang pendidikan?” soalnya.

Anuar menyifatkan langkah itu seperti tahap kelas tuisyen swasta dan bukan lagi menggambarkan sebuah institusi sekolah kerajaan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan telah melakukan tindakan yang tidak tepat dan ini akan merosakkan kualiti pendidikan di Malaysia apabila membenarkan graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan guru secara one-off.

“Sepatutnya apa yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan adalah mengarahkan IPG dan semua fakulti pendidikan universiti awam untuk segera membuat pengambilan yang lebih ramai pelajar pendidikan secara one-off bagi mata pelajaran yang kekurangan guru.

“Misalnya jika mata pelajaran Bahasa Melayu kekurangan guru, Kementerian Pendidikan arahkan IPG Pendidikan Bahasa Melayu dan universiti awam yang mempunyai program Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu membuat pengambilan yang lebih ramai secara one-off untuk mengisi kekurangan tersebut.

“IPG dan universiti awam boleh melantik pensyarah kontrak untuk melatih lebih ramai guru yang diperlukan,” jelasnya.

Anuar turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan sistem ‘dashboard’ data berkaitan sistem pendidikan negara termasuk kekosongan guru terkini setiap daerah.

“Apakah pengambilan secara ‘one off’ ini akan merencatkan perancangan unjuran program pengajian pendidikan di universiti awam dan IPG? Jawabnya ya.

“Apabila pengisian jawatan baru berlaku secara one-off, keperluan guru untuk masa terdekat akan lebih mengecil kerana perjawatan telah diisi penuh,” ujarnya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan tentang nasib graduan pendidian setelah mereka tamat pengajian kelak kerqana mereka telah dilatih secara spesifik untuk keguruan dan tiada kemahiran dalam bidang lain.

Secara keseluruhan, Anuar menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan untuk menyelesaikan isu kekurangan guru di seluruh Malaysia terutamanya di Sabah, Sarawak dan Selangor.

“Sebenarnya isu kekurangan guru khususnya di Sarawak dan Sabah telah lama berlaku dan tidak tindakan konstruktif sebelum ini dilakukan yang secara bersungguh-sungguh.

“Tahniah Kementerian Pendidikan khususnya Menteri Kanan Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam JPA dan SPP atas usaha ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau mendakwa, kegagalan perancangan kepimpinan Kementerian Pendidikan selama ini dalam menyelaraskan guna tenaga sumber manusia keguruan di negara ini sejak sekian lama telah dibuktikan dalam sidang media tersebut.

“Pengakuan berkali-kali Menteri Kanan Pendidikan mengesahkan isu kekurangan guru ini telah lama berlaku. Mengapa boleh berlaku?

“Puncanya tentulah disebabkan kegagalan pihak pengurusan Kementerian Pendidikan merancang dan membuat unjuran perjawatan dengan teratur dan baik. Itulah sebabnya berlaku kekurangan guru,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan