32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Pelan Pemulihan Negara persiapan keluar pandemik COVID-19

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kerajaan sedang merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan untuk negara keluar daripada pandemik COVID-19 pada satu peringkat yang munasabah.

Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan yang dibuat berdasarkan kepada data, sains dan segala persiapan yang telah dilakukan termasuk dari segi pengurusan COVID-19, ekonomi, program vaksinasi dan sebagainya itu, akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu akan datang.

“Beberapa menteri utama yang terbabit sudahpun duduk membentangkan secara kasar kepada saya. Pada dasarnya baik, tetapi belum lagi diperhalusi.

“Sudah sampai masa kita nak tetapkan satu ‘exit strategy’ atau pelan pemulihan negara untuk kita keluar dari masalah ini, tetapi ini adalah cabaran yang besar bergantung pada kerjasama dan sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Johor, Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Muhyiddin melalui laman Facebook menyatakan, beliau gembira melihat inisiatif Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah di PPR Srri Johor, Bandar Tun Razak yang diusahakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan penglibatan beberapa klinik swasta sebagai alternatif kepada PPV sedia ada itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Menurut beliau, rata-rata penerima vaksin yang mana sebahagian besarnya adalah warga emas ketika ditemui menzahirkan terima kasih atas usaha yang dilakukan.

“Selain memudahkan mereka divaksinasi, inisiatif Trak Vaksin Bergerak itu lebih ‘mobile’ dan boleh berada di kawasan yang disasarkan berbanding PPV biasa, sekali gus membantu mempercepatkan sasaran majoriti rakyat divaksinasi.

“Saya yakin dengan kemudahan yang disediakan ini termasuk PPV biasa dan PPV mega yang sedang beroperasi di Lembah Klang, Wilayah Persekutuan mampu mencapai sasaran imuniti kelompok atau lebih 80 peratus penduduk menerima suntikan vaksin COVID-19 sepenuhnya menjelang 31 Ogos ini.

“Syabas saya ucapkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kesihatan serta klinik kesihatan swasta dan petugas sukarela yang terlibat menjayakan inisiatif yang cukup baik dan amat membantu rakyat ini,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, langkah itu merupakan antara usaha kerajaan dalam memastikan semua rakyat yang layak divaksinasi tidak tertinggal dari mendapat suntikan vaksin dengan cara menyenangkan atau memudahkan proses mereka untuk menerima suntikan. – EDISI 9

Terkini

50 keluarga asnaf terima bantuan pek makanan IR Malaysia

SERAMAI 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sempena program MySinggah Ramadan yang...

Lagi Artikel Berkaitan