32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Maritim Malaysia rampas ketum bernilai RM126,000

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KUALA PERLIS – Sebanyak 70 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum dianggarkan bernilai RM126,000 berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis di pesisir pantai Sungai Baharu, Perlis kira-kira 10.45 malam, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, berikutan maklumat daripada Cawangan Khas E6 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah mengenai sindiket tempatan yang bergiat aktif melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak untuk melakukan pengesanan dan serbuan menerusi Op Benteng Laut di perairan Perlis.

Menurut beliau, semasa rondaan dilakukan, anggota bot telah mengesan beberapa bungkusan plastik hitam mencurigakan disyaki mengandungi daun ketum yang ditinggalkan di persisiran pantai dan dipercayai menunggu masa yang sesuai untuk diambil oleh bot bagi tujuan diseludup ke negara jiran melalui jalan laut.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui 70 bungkusan plastik hitam yang mengandungi bungkusan-bungkusan kecil disyaki daun ketum dengan anggaran berat 700 kilogram yang bernilai RM126,000 mengikut anggaran nilai semasa di Thailand iaitu RM180 bagi sekilogram daun ketum.

“Kesemua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum itu telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Shafie memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Beliau menambah, jika disabitkan kesalahan, suspek yang ditangkap boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Bot nelayan kelas C yang ditahan kerana melanggar wsyarat sah lesen di Pulau Jarak. – Gambar: Maritim Malaysia

Sementara itu di LUMUT, Maritim Malaysia Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana melanggar syarat sah lesen pada jarak kira – kira 7.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak sekitar pukul 4.50 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Shahrizan Raman berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam keadaan mencurigakan oleh Kapal Maritim (KM) MALAWALI semasa dalam rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Sayong.

“Terdahulu, bot Kelas C itu dikesan melalui radar kapal dan menjalankan aktiviti perikanan dalam zon perairan yang tidak dibenarkan, sebelum berjaya ditahan dan digeledah bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati empat kru warga negara Myanmar termasuk tekong berumur sekitar 25 hingga 30 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya.

Menurut beliau, mereka dipercayai menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan dengan tidak mematuhi syarat sah lesen bot Kelas C yang dibenarkan iaitu mesti menjalankan aktiviti perikanan melebihi 15 batu nautika.

Shahrizan berkata, kesemua nelayan asing itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) Menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika, dan menggajikan pekerja warga negara asing di bawah Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah.

“Kesemua kru dan hasil tangkapan dianggarkan 300 kilogram bersama bot tahanan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu dan tiba sekitar jam 11.50 malam tadi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan