31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Malaysia sumbang RM4.2j bina semula fasiliti ujian Covid di Gaza

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Menteri Luar Palestin Dr. Riad Malki menzahirkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepimpinan serta sokongan Kerajaan Malaysia kepada Palestin sejak sekian lama.

Perkara itu disampaikannya dalam pertemuan dengan rakan sejawatan dari Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Turki pada Jumaat, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).

Dr. Riad turut memuji pendirian Malaysia yang tidak pernah berbelah bahagi dan menyatakan Palestin sentiasa boleh bergantung harap pada sokongan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, pertemuan dengan Dr Riad merupakan sebahagian daripada program lawatan kerja Hishammuddin ke Turki yang bermula pada Jumaat. Semasa berada di Turki, Hishammuddin dijangka menghadiri Forum Diplomasi Antalya.

Selain itu, Dr. Riad turut berkongsi dengan Hishammuddin mengenai perkembangan terkini di Palestin dengan memaklumkan bahawa Palestin masih terpaksa berdepan serangan dan kekejaman berterusan daripada pihak Israel.

Hishammuddin juga menyampaikan kepada Dr. Riad yang kerajaan Malaysia juga bersetuju menyumbang lebih AS$ 1 juta (RM4.2 juta) kepada Kerajaan Palestin bertujuan membantu membina semula fasiliti ujian Covid-19 di Gaza yang telah musnah akibat dibom semasa serangan bulan lepas.

“Selain Malaysia, saya juga mencadangkan agar negara-negara yang berkongsi tekad yang sama tampil menyokong dan menggerakkan bantuan untuk Palestin – cadangan ini disambut baik oleh Dr. Riad,” katanya.

Di akhir pertemuan, Hishammuddin sekali lagi menyuarakan pendirian tegas Malaysia dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin serta akan terus mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel terhadap Palestin.

Hishammuddin juga memaklumkan kepada Dr. Riad bahawa beliau akan ke Mesir sebaik sahaja Lawatan Kerja di Turki berakhir dan akan berkongsi perkara yang dibincangkan sewaktu bertemu Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi dan Menteri Luar Mesir, Sameh Hassan Shoukry. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan