CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pelaksanaan sidang Dewan Parlimen secara hybrid melibatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Katanya, langkah itu dilakukan selepas mesyuarat secara maya dengan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan Yang Dipertua hari ini bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hybrid diadakan, berasaskan penyertaan Ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya.
“Ia turut membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Takiyuddin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan Parlimen akan dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.
“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya. – Edisi 9