28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Keputusan Sabah longgar SOP ambil kira situasi terkini

Mesti Baca

KOTA KINABALU – Keputusan kerajaan Sabah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) seperti diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, adalah mengambil kira situasi kes COVID-19 di negeri ini yang berada pada tahap terkawal dan antara terendah di negara.

Sehubungan itu, Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin kerajaan Persekutuan memahami apa yang baik dan perlu untuk Sabah kerana keputusan yang dibuat sudah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah yang turut dianggotai agensi Persekutuan seperti polis, Jabatan Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata PBS percaya sebelum keputusan itu dibuat, kerajaan Sabah sudah membuat penelitian terutama sekali dalam aspek keperluan keseimbangan di antara menjaga keselamatan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi dan yakin kerajaan Persekutuan memahami kehendak kerajaan dan rakyat Sabah.

“Keyakinan ini berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan kepemimpinan kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa memahami keperluan dan kehendak rakyat Sabah.

“Ini diperkukuhkan lagi dengan hubungan baik antara kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan yang sentiasa bekerjasama dan sepakat melandaikan lekuk COVID-19 yang masih mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

JONISTON BANGKUAI
JONISTON BANGKUAI

Dalam satu kenyataan pada Isnin lalu, Hajiji membenarkan beberapa aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi semula seperti makan di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel sepanjang dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula Selasa lalu.

Turut diberi kebenaran adalah pembukaan kedai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan, serta kedai gunting rambut dan aktiviti sukan tidak bersentuhan seperti golf, memancing dan berbasikal.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata PBS turut berharap agar penguatkuasaan berkesan dijalankan untuk memastikan pematuhan masyarakat dan premis perniagaan terhadap SOP yang ditetapkan.

“PBS juga berharap program vaksinasi COVID-19 diperhebatkan sebagai langkah berkesan mengekang penularan virus,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan