27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Fitnah jahat: LGMPC saman Sedar Malaysia RM10 juta

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – LGM Properties Corporation (LGMPC) meneruskan tindakan undang-undang dengan mengemukakan saman sekurang-kurangnya RM10 juta terhadap pengendali laman Facebook Sedar Malaysia setelah ia gagal memberi kenyataan permohonan maaf secara terbuka dalam masa 48 jam.

Perbadanan milik Lembaga Getah Malaysia (LGM) itu menyatakan demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut LGMPC, ia merujuk kepada kenyataan dan tuduhan berbaur fitnah berkenaan salah urus tadbir, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi LGMPC yang telah diterbitkan oleh Sedar Malaysia terhadapnya.

Berikutan daripada itu, LGMPC telah memberikan tempoh 48 jam kepada Sedar Malaysia untuk menurunkan artikel berkaitan LGMPC dan memberi kenyataan permohonan maaf secara terbuka serta siaran permohonan maaf tersebut di saluran media arus perdana, media sosial dan laman sesawang terlibat melalui kenyataan media pada 31 Mei lalu.

“Namun, LGMPC mendapati Sedar Malaysia telah gagal memenuhi tuntutan tersebut.

“Sehubungan itu, LGMPC telah mengarahkan Tetuan Srihana Mohamad & Partners untuk meneruskan tindakan undang-undang secara terancang terhadap Sedar Malaysia bagi menjaga reputasi dan melindungi kepentingan LGMPC,” katanya.

Sementara itu, dalam notis tuntutan yang dikemukakan kepada Pertubuhan Sahabat Erat Dan Amanat Rakyat Malaysia atau Sedar Malaysia, Tetuan Srihana Mohamad & Partners menyatakan, tuntutan tersebut dibuat berhubung artikel yang diterbitkan dalam laman Facebook Sedar Malaysia pada 29 Mei lalu.

Advertisements

Artikel itu bertajuk ‘Setelah Pegawai Menteri Sahkan Surat Yang Kami Dedah Tulen, Kami Dedahkan Lagi Skandal LGM! Kali Ini YB Menteri Dan Pengerusi LGM Sila Jawab!”.

Firma guaman itu menyatakan, ayat dalam artikel tersebut yang didakwa memfitnah LGMPC berbunyi: “Kami telah ditunjukkan sebahagian laporan mendakwa isu besar melanda syarikat yang dimiliki oleh Lembaga Getah Malaysia iaitu LGMPC melibatkan ketirisan hasil sebanyak RM5.8 juta pada tahun lepas.”

Selain itu, Tetuan Srihana Mohamad & Partners memberitahu bahawa anak guamnya telah memaklumkan bahawa tuduhan yang tidak berasas dinyatakan dalam sebahagian daripada ayat yang berbunyi: “ketirisan hasil sebanyak RM5.8 juta pada tahun lepas”.

Menurut firma guaman berkenan, kata-kata berunsur fitnah itu telah menjejaskan reputasi dan integriti LGMPC.

“Sehubungan itu, anak guam kami menuntut anda supaya menyiarkan permohonan maaf mengikut terma-terma yang dipersetujui oleh kami bagi pihak anak guam kami dan menarik balik penyiaran dalam masa tujuh hari.

“Anda juga dikehendaki memberikan kepada kami jaminan bertulis dan janji bahawa anda tidak akan menerbitkan lagi artikel yang sama berkaitan anak guam kami.

“Selain itu, anda dikehendaki membayar pampasan kepada anak guam kami sebagai ganti rugi terhadap reputasi yang telah dicemar dengan jumlah sekurang-kurangnya RM10 juta,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan