28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

FDI Malaysia 2020 menyusut hampir 55 peratus

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM14.6 bilion pada tahun 2020 berbanding RM32.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia menyusut sebanyak 54.8 peratus, sebahagiannya kesan daripada ketidaktentuan ekonomi di peringkat global yang disebabkan oleh situasi pandemik COVID-19.

Menurut beliau, penurunan dalam aliran FDI itu adalah disebabkan oleh ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih rendah serta pinjaman kepada gabungan di luar negara yang lebih tinggi.

“Dari segi kedudukan, FDI meningkat kepada RM698.8 bilion pada akhir 2020 (2019: RM687.8 bilion).

“Sementara itu, pendapatan pelaburan berkurang kepada RM44.6 bilion daripada RM60.5 bilion pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Uzir turut memberitahu, Sektor Perkhidmatan dan Pembuatan merupakan penyumbang utama bagi aliran FDI pada tahun 2020, diikuti oleh sektor Perlombongan dan pengkuarian.

Beliau menambah, pelaburan dalam sektor Perkhidmatan itu adalah terutamanya dalam aktiviti kewangan dan utiliti, manakala sektor Pembuatan sebahagian besarnya adalah dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

“Negara utama aliran FDI adalah Singapura, Thailand dan China,” jelasnya lagi.

Mohd Uzir berkata, kedudukan FDI pada akhir tahun 2020 adalah RM698.8 bilion, di mana sektor Perkhidmatan merupakan penyumbang utama khususnya dalam aktiviti kewangan dan perdagangan borong dan runcit.

Beliau menambah, ia diikuti oleh sektor Pembuatan dengan elektrik,peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan sebagai subsektor utama.

“Singapura, Hong Kong dan Jepun kekal sebagai negara pelabur terbesar bagi kedudukan FDI,” ujarnya.

Menurut beliau, pendapatan pelaburan menurun kepada RM44.6 bilion daripada RM60.5 bilion pada tahun sebelumnya, disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah diterima oleh syarikat asing.

“Pembuatan dan Perkhidmatan merupakan sektor utama, sementara pelabur dari Singapura, Amerika Syarikat dan Hong Kong memperoleh pendapatan tertinggi pada tahun 2020,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan penerbitan penuh Statistik Pelaburan Langsung Asing di Malaysia 2020 boleh memuatturunnya melalui portal eStatistik. – EDISI 9

Terkini

Dua bot Vietnam ditahan sedang leka kaut hasil laut

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam sedang leka...

Lagi Artikel Berkaitan