27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Agong ulangi titah sidang Parlimen secepat mungkin

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen.

Langkah itu bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan

Seri Paduka bertitah, semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka bertitah, langkah itu perlu dilakukan untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara selepas Seri Paduka berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini.

Turut hadir pada sesi yang berlangsung selama satu jam bermula pada pukul 11.00 pagi tadi ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman
Said.

Ahmad Fadil menambah, semasa sesi menghadap tersebut, Seri Paduka menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya.

“Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” jelasnya.

Sesi menghadap itu adalah susulan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah berlangsung pada 16 Jun 2021 lalu. – EDISI 9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan