28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Malaysia main peranan desak Israel henti keganasan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Malaysia boleh memainkan peranan untuk mendesak masyarakat antarabangsa supaya memberi tekanan terhadap rejim Zionis Israel bagi menghentikan tindakan keganasan di Palestin.

Keyakinan itu disuarakan oleh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyyeh dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tengah hari tadi.

Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM), Muslim Imran yang berkongsi butiran perbualan antara dua pemimpin terbabit berkata, Ismail dan Muhyiddin berbincang selama kira-kira 30 minit tentang situasi di Palestin.

“Ismail membangkitkan tentang serangan di Jerusalem dan Gaza dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

“Beliau meminta Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa supaya memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan keganasan.

“Beliau juga menyatakan penghargaan berkenaan solidariti Malaysia melalui kempen dan usaha menyokong perjuangan rakyat Palestin,” jelas Muslim melalui rakaman audio aplikasi WhatsApp, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau menambah, Muhyiddin menyuarakan sokongan penuh terhadap perjuangan Palestin dakn komitmennya menyokong Palestin di peringkat antarabangsa.

Menurut Muslim, Muhyiddin menyebut Malaysia bersama Indonesia dan Brunei akan mengetuai usaha membawa pendirian bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tentang isu Palestin.

“Mereka akan membangkitkan isu ini kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tentang isu ini,” katanya.

Beliau memberitahu, Muhyiddin turut menjemput Ismail ke Kuala Lumpur pada masa akan datang.

Pada 11 Mei lalu, Muhyiddin menyatakan pendirian Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara tentera regim Israel di semenanjung Gaza semalam yang telah mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak.

Menurut beliau, serangan kejam, melampau dan keterlaluan oleh regim zionis itu secara keseluruhan dan terang-terangan menyalahi undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia turut mengulangi rasa kesal dengan serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera regim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu, serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

“Pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan ini, serangan yang keji dan disasarkan terhadap saudara-saudara kita sesungguhnya amat biadab dan tidak menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia, tetapi umat manusia secara keseluruhan.

“Malaysia menuntut Israel untuk segera menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki termasuk yang berada di Semenanjung Gaza,” katanya dalam satu kenyataan. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan