25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

‘Kalau rasa kebal Covid-19, teruskan aktiviti suka ria’

Mesti Baca

KUALA TERENGGANU – “Kalau rakyat Terengganu rasa mereka kebal kepada Covid-19 teruskan aktiviti suka ria kalian.”

Demikian nada geram dan kecewa Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berikutan ketidakpedulian rakyat negeri itu terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, ekoran tiada pematuhan SOP, jumlah kes harian di negeri ini sudah meningkat kepada dua digit selama dua hari berturut-turutu sejak semalam.

Nor Azimi kemudian berkongsi lima senario yang berlaku yang menyebabkan wujud kluster baharu dan penularan wabak yang begitu pantas di Terengganu.

“Saya kongsi kisah-kisah kluster yang mengesahkan tiada pematuhan SOP yang menyebabkan penularan jangkitan Covid 19 di Terengganu berlaku dengan pantas,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

DR NOR AZIMI YUNUS

Kisah 1: Lepak-lepak bersama 18 orang kawan di sebuah rumah kosong di Setiu. Akhirnya 17 disahkan positif melibatkan kawan lepak dan ahli keluarga. Seramai 162 kontak rapat dikesan.

Kisah 2: Seorang dikesan positif untuk saringan masuk kerja di Johor. Semua kontak rapat famili di Dungun disaring. Akhirnya 41 ahli keluarga dan kawan disahkan positif serentak. Seramai 245 kontak rapat dikesan.

Rupanya ada beberapa buah rumah dalam pagar yang sama. Turun naik rumah itu biasa. ‘PPALUT MOLEK’.

Kisah 3: Menganjurkan majlis berbuka puasa melibatkan 20 orang. Akhirnya tercetus Kluster Bukit Pauh di Dungun dengan jumlah kes positif 78 orang dan 496 orang kontak rapat.

Merebak pula ke Kuala Terengganu apabila kes tadi ada diskusi dan moreh di kedai makan. Akhirnya dua kawan dikesan positif.

Advertisements

Kisah 4: Masak ramai-ramai buat majlis berbuka puasa di sebuah surau di Marang. Macam-macam aktiviti dibuat sebelum raya. Seronok sungguh semua orang. Akhirnya 26 disahkan positif. Seramai 283 orang kontak rapat dikesan.

Kisah 5: Hadiri mesyuarat di Kuala Lumpur. Tidak buat penilaian risiko. Masuk kerja seperti biasa. Akhirnya 36 disahkan positif. Ribuan kontak terpaksa disaring.

Untuk rekod, sebanyak 156 kes baharu dilaporkan hari ini di negeri Terengganu, manakala semalam pula sebanyak 201 kes dilaporkan.

Nor Azimi berkata, terdapat berpuluh-puluh kisah pelanggaran SOP boelh dikongsi untuk menjadi iktibar dan mengesahkan tiadanya pematuhan SOP dalam kalangan penduduk.

“SOP semua ke laut. Sebab apa ke laut. Sebab mereka tak cakna (peduli), sambil lewa dan perlekehkan pematuhan SOP. Semuanya dianggap rekaan dan menyusahkan.

“Kita tak tahu status kawan kita masa majlis sosial di atas. Kita hanya tahu bila mereka disahkan positif. Akhirnya kita menjadi kontak rapat. Nasib tak baik kita pula disahkan positif,” katanya.

Sumber: Jabatan Kesihatan Terengganu

Justeru, beliau menggesa orang ramai khususnya penduduk Terengganu tidak mengambil mudah kebolehjangkitan Covid-19 seperti berbincang untuk menanda markah peperiksaan yang akhirnya tiga orang guru disahkan positif.

Katanya, semua pemimpin masyarakat dari setiap peringkat termasuk ketua-ketua jabatan perlu memastikan rakan-rakan, komuniti sekitar dan para kakitangan jabatan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Tangguhkan semua majlis perkumpulan. Semua kena duduk di rumah. Tidak ada guna peraturan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kalau masih ada yang bersuka ria,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan