25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Israel biadap, serang rakyat Palestin di bulan Ramadan – PM

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara tentera regim Israel di semenanjung Gaza semalam yang telah mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serangan kejam, melampau dan keterlaluan oleh regim zionis itu secara keseluruhan dan terang-terangan menyalahi undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia turut mengulangi rasa kesal dengan serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera regim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu, serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

“Pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan ini, serangan yang keji dan disasarkan
terhadap saudara-saudara kita sesungguhnya amat biadab dan tidak
menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia, tetapi umat manusia secara keseluruhan.

“Malaysia menuntut Israel untuk segera menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki termasuk yang berada di Semenanjung Gaza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MUHYIDDIN YASSIN

Muhyiddin berkata, kekerasan secara berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, terutamanya pada bulan suci Ramadan, tidak boleh diterima sama sekali dan regim itu wajib dipertanggungjawabkan.

Kata beliau, masyarakat antabangsa tidak boleh menutup mata dan berdiam diri serta tidak menghiraukan kekejaman yang dilakukan oleh regim itu.

“Oleh yang demikian, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa terutama sekali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak tegas dan mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaharu terhadap rakyat Palestin.

“Masyarakat antarabangsa juga perlu bersama-sama menggembleng usaha
bagi melindungi rakyat Palestin daripada tindakan ganas Israel,” kata beliau.

Dalam waktu-waktu sukar ini, jelas Muhyiddin, Malaysia akan sentiasa memberi sokongan padu dan mengukuhkan solidariti dengan rakyat Palestin.

“Malaysia juga turut mengulangi pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1997, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, yang merupakan satu-satunya penyelesaian terbaik dalam konflik Palestin-Israel,” katanya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan