31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ibrahim Ali mengaku terima cek peribadi Najib

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali mengaku pernah menerima cek peribadi daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau membuat pengakuan itu berikuran laporan media mengenai 22 pihak lagi bakal disaman menerima wang yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

Ibrahim memberi penjelasan tersebut memandangkan namanya turut disebut sebagai salahs seorang individu yang terlibat.

“Saya mengaku telah menerima sekeping cek personal Datuk Seri Najib yang tertera nama beliau pada cek tersebut, yang tidak saya sedar sama sekali ia berkait dengan wang SRC mahu pun 1MDB sebab tiada nama SRC mahupun 1MDB di cek tersebut.

“Saya tidak ingat bila terimanya tetapi yang pasti sebelum isu 1MDB terbongkar selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Jika sudah terbongkar, pastinya saya tidak akan mahu menerimanya dan Datuk Seri Najib sendiri tidak akan menggunakan lagi akaun tersebut lagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ibrahim berkata, sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra Barisan Nasional (BN) sepanjang 2008 hingga 2013, beliau tidak mempunyai peruntukan untuk menganjurkan program rakyat di Pasir Mas.

Menurut beliau, menjelang PRU-13, banyak bantuan perlu disalurkan kepada rakyat di kawasan Parlimen Pasir Mas dan pihaknya terpaksa mencari dana daripada mereka yang sudi menyumbang.

“Jika terdesak, saya gunakan kad kredit sehingga maksimum hadnya,” jelasnya.

Ibrahim memberitahu, selepas PRU-13, beliau berjumpa Najib untuk meminta bantuan menyelesaikan masalah kewangan berikutan banyak dana yang dibelanjakan sepanjang tempoh lima tahun tersebut termasuk ketika bertanding dalam PRU-13.

“Apalagi saya adalah calon mesra BN yang mana calon BN (UMNO) menarik diri secara tidak langsung mengizinkan saya bertanding satu lawan satu dengan calon PAS.

“Beliau setuju membantu pada fikiran saya kerana saya Ahli Parlimen Bebas mesra BN sebelum itu. Saya tidak ambil tahu dana mana dia ambil bantu saya. Mungkin dari tabung UMNO atau BN. Atau wang personalnya.

“Mengapa perlu saya menolak bantuan yang beliau berikan dan sudah tentu saya tidak menyoal punca duit itu datang dari mana memandangkan Datuk Seri Najib telah lama dalam Kabinet sejak usianya 20-an lagi, sudah tentu jumlah itu dalam kemampuannya.

“Semua sumbangan itu saya telah belanjakan yang tidak perlu saya huraikan sekarang, tetapi yang pasti ia dihabiskan untuk membiayai perbelanjaan program-program rakyat di Pasir Mas dan tidak digunakan untuk perbelanjaan peribadi saya,” katanya.

Ibrahim menambah, untuk rekod, beliau selaku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah pihak terawal mendesak agar kerajaan mewujudkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat skandal 1MDB pada program Sidang Meja Bulat Perkasa: Isu 1MDB pada tahun 2014 di Kelab Sultan Sulaiman.

Beliau berkata, kenyataan menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut juga sekali lagi dibuat bersama-sama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika Perkasa mengadakan kunjungan hormat ke atas pimpinan tertinggi PAS pada awal tahun 2015.

“Saya sedia tunggu saman tersebut dan bersedia menjawab di mahkamah. Biarkanlah mahkamah tentukan saya wajar memulangkan semula atau tidak kerana saya telah membelanjakan semuanya ketika saya tidak mengetahui sama sekali duit itu dari sumber salah.

“Selepas ini saya hanya akan mewakilkan peguam saya untuk buat sebarang kenyataan berkaitan isu saman tersebut. Saya sedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa jika dipanggil untuk apa-apa siasatan kerana saya tidak mahu terpalit dengan sebarang skandal negara.

“Bagaimanapun ia adalah tindakan saman sivil, maka saya menunggu sahaja bila akan disaman,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan