31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Lapan tahun My Kampung, My Future, apa pengajarannya?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Setiap tahun, penulis dan penduduk kampung Mukim Pulau Tiga yang menyertai program My Kampung, My Future (MKMF) akan mengadakan sambutan ulang tahun program tersebut pada 25 April setiap tahun, sejak program itu dirasmikan pada 25 April 2013, di Kampung Gajah,Perak.

Pada asalnya, program ini sepatutnya dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Bagaimanapun ia digantikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamzah pada saat-saat akhir memandangkan perasmian program itu jatuh ketika musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Tarikh tersebut juga sangat dekat di hati penulis kerana tarikhnya adalah sehari selepas tarikh lahir penulis iaitu pada 24 April.

Tahun ini merupakan ulang tahun kelapan sejak program itu dirasmikan. Penulis akan memastikan hampir setiap tahun pelbagai acara diadakan untuk memastikan ‘semangat’ dan gerak kerja program tersebut sentiasa hidup demi memastikan kelangsungan pembangunan kampung.

Sambutan ulang tahun ini juga perlu kerana program MKMF adalah antara elemen penting yang akan menjadi lipatan sejarah pembangunan Mukim Pulau Tiga, menuju masa depan.

Tahun ini sambutannya agak berbeza dan ringkas tetapi kami tetap mengharapkan impak yang berkesan seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

Penulis menerima cenderamata IKS Thailand daripada Supanat Sirantawineti, Ketua Wilayah, Pihak Berkuasa Pembangunan Sempadan Selatan Thailand (SPBAC) ketika lawatan delegasi berkenaan ke Mukim Pulau Tiga pada 7 November 2017.

Sepanjang lapan tahun lalu, sambutan tahun 2017 paling hebat, lama dan sangat meriah sehingga mampu menarik pengunjung dan acara yang melibatkan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

Cerita MKMF Pulau Tiga ini pernah ditulis di ruangan ini dalam artikel bertajuk ‘MKMF, PAK YA DAN AFIZAH’ yang disiarkan pada 7 Mac lalu.

Namun kali ini, penulis berusaha untuk memberi fokus lebih besar dan akan menghasilkan artikel sepanjang minggu ini di ruangan ini bagi menceritakan pelbagai topik penting dan pengalaman penulis menjayakan gagasan MKMF untuk dijadikan panduan dan rujukan pelbagai pihak sama ada kerajaan, mahupun rakyat.

Secara ringkas, MKMF adalah sebahagian daripada inisiatif program Kerjasama Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ketika era pentadbiran BN, di bawah kepimpinan Najib.

Matlamat utama adalah untuk membangunkan kampung secara bersepadu dan perkongsian sumber daya setiap agensi kerajaan yang diselaraskan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), ketika itu (kini dikenali MAFI).

Gerak kerjanya adalah untuk memastikan bahawa pembangunan seimbang (ekonomi dan sosial) di kampung mampu untuk menarik generasi muda supaya memilih untuk tinggal dan memajukan kampung.

Selain meningkatkan daya saing dan daya maju kampung sendiri, MKMF juga diharap dapat melahirkan tokoh-tokoh muda yang boleh memimpin pembangunan kampung.

Mukim Pulau Tiga mempunyai 10 kampung yang terletak di daerah Perak Tengah dan berada dalam parlimen Pasir Salak serta DUN Kampung Gajah.

Dalam konteks keseluruhan program MKMF, Pulau Tiga adalah mukim ketiga di Malaysia yang dipilih sejak tahun 2012 iaitu selepas Merotai di Tawau, Sabah dan Kampung Gedong, di Simunjan, Sarawak. Data tahun 2016 telah mencatatkan hampir 10 mukim atau kampung yang terpilih di seluruh negara (1 negeri 1 mukim)

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, bersama penulis menyertai Persidangan Antarabangsa, Kerjasama Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Putrajaya pada tahun 2016.

Selain keunikan Pulau Tiga sendiri, faktor kredibiliti penulis juga telah diambil kira oleh Jawatankuasa Pemilihan kerana penulis sudah terlibat membantu MOA sejak awal program MKMF terutama di Sabah.

Pulau Tiga yang suatu masa dahulu merupakan perkampungan yang hebat di daerah Perak Tengah, sudah hampir mati disebabkan penghijrahan tenaga muda ke tempat lain dan ketiadaan pembangunan ekonomi seperti era sebelum kemerdekaan tanahair.

Pengisian kegiatan MKMF telah menyediakan pelbagai peluang ekonomi seperti bidang tanaman, penternakan lembu, perikanan (ikan sangkar), proses makanan, industri kraftangan, latihan kemahiran pertanian/perladangan swasta dan pelancongan.

Ini telah memberi manfaat kepada ramai penduduk kampung, khususnya belia sejak tahun 2013.

Selain itu, nilai warisan budaya dan tradisi seperti senibudaya, warisan sejarah dan lain-lain berjaya dihidupkan semula.

Advertisements

Di sebalik pelbagai cabaran pahit dan manis, sebenarnya kejayaan yang ada sudah mampu menarik minat orang luar termasuk dari luar negara untuk melawat dan menjadikan MKMF Pulau Tiga sebagai model pembangunan kampung.

Sejak dilaksanakan, banyak juga kejayaan yang dicipta oleh penggiat ekonomi berkaitan seperti Anugerah Rural Business Challenge, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Inovasi pertanian, Anugerah Pelancongan Desa dan banyak lagi.

Walaupun MKMF kelihatan hidup dan segar di Pulau Tiga, tidak dinafikan keaktifan gerak kerjanya kian pudar sejak tahun 2016.

Maka baru-baru ini, penulis menghubungi seorang Pengarah agensi berkaitan untuk mendapat maklum balas apa status program MKMF di Pulau Tiga.

Katanya program tersebut masih wujud tetapi sukar digerakkan kerana Kementerian Kewangan tidak menyalurkan lagi bajet berkenaan.

Bagaimanapun, beliau ada memaklumkan hasrat MAFI untuk mengemukakan semula kepada pihak berkenaan untuk meneruskan program ini dengan versi baru.

Berdasarkan maklumat tersebut, penulis meneruskan gerak kerja MKMF sebagai stake holder mengikut kemampuan dan kapasiti penulis.Banyak pengajaran yang telah penulis perolehi yang sewajarnya dikongsikan dengan semua pihak terutama agensi kerajaan.

Antaranya ialah bagaimana perkongsian gerak kerja melibatkan dasar kerajaan yang perlu diselaras secara bersepadu seperti program NBOS. Persoalannya apakah tahap konsisten dan komitmen berterusan semua pihak berkenaan.

Selain itu, kejayaan sesuatu dasar kerajaan seperti MKMF, memerlukan banyak inisiatif stake holder atau peserta sendiri yang perlu diketuai oleh institusi seperti IGROW yang penulis wujudkan serentak dengan perlaksanaan program MKMF di Pulau Tiga.

Institusi inilah yang menjadi katalis untuk merancang, memandu, membimbing dan memantau prestasi dari masa ke semasa (dalam konteks stake holder).

Manakala cabaran-cabaran seperti konflik politik dan kepimpinan tempatan, karenah birokrasi serta politik di peringkat pentadbiran kerajaan telah merencatkan usaha membangunkan sesuatu dasar seperti MKMF.

Konflik politik dan kepimpinan tempatan juga akan mengakibatkan sistem nilai dan sikap masyarakat tempatan juga akan terpengaruh hingga membawa pemikiran dan mentaliti yang negatif terhadap potensi dasar dan program seperti MKMF.

Apapun, berdasarkan pengalaman luas penulis dalam pembangunan sosio-ekonomi dan sebagai orang yang terlibat secara langsung keseluruhan MKMF sejak dari awal, kejayaan MKMF Pulau Tiga sudah boleh dijadikan model pembangunan luar bandar yang bersepadu, berstruktur dan komprehensif.

Walaupun kejayaannya kini hanyalah 10 peratus daripada perancangan asal penulis bersama MOA hampir sepuluh tahun lalu, MKMF Pulau Tiga masih berpotensi untuk menjadi kampung yang unik dan menarik untuk didiami oleh generasi muda akan datang, jika digilap secara bersama pada masa depan.

Demi kampung halaman iaitu Mukim Pulau Tiga, penulis telah meninggalkan segala kemewahan dan kekayaan hidup di Melaka, Kuala Lumpur dan Sabah suatu ketika dahulu untuk balik ke kampung dan menghambakan diri untuk menjayakan MKMF. Onak dan durinya, hanya Allah yang tau.

Penulis bukanlah seorang Menteri Besar, menteri, ketua cawangan parti politik, wakil rakyat, penghulu atau ketua kampung tetapi cukuplah penulis telah berusaha menabur jasa membawa pembangunan MKMF ke Pulau Tiga dan Sabah suatu masa dulu.

Legasinya boleh dilihat hari ini dengan bukti pembangunan berterusan atau setidak-tidaknya masih wujud di sana-sini papan tanda Program My Kampung, My Future di Mukim Pulau Tiga. Hasrat Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mengkaji kejayaan MKMF Pulau Tiga amat kami alu-alukan.

Pembaca boleh mengikuti tulisan perkongsian pengalaman sebenar secara bersiri dalam kolum Randau sepanjang minggu ini dan video-video khas yang turut disiarkan menerusi di IGROW Channel menerusi saluran Youtube berkaitan MKMF Pulau Tiga.

Tema sambutan ulang tahun ke-8 pada kali ini ialah Legasi Sepanjang Zaman. Sambutan setiap tahun ini adalah inisiatif penulis sendiri bersama penduduk kampung yang telah menerima manfaat daripada MKMF.


• Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan