25.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 18, 2021

Isu gaji rendah, laluan kerjaya belenggu pekerja Malaysia

Must Read

Oleh ADNAN MAT

TANGGAL 1 Mei pada setiap tahun merupakan satu penghormatan yang cukup istimewa buat warga pekerja di Malaysia apabila kerajaan memberikan pengiktirafan kepada sambutan Hari Pekerja dengan memberikan cuti umum pada hari tersebut.

Walaupun tahun ini masih lagi tiada perhimpunan yang besar-besaran dapat diadakan berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang masih lagi membimbangkan, CUEPACS percaya semangat dan jiwa warga pekerja di Malaysia ini terutama penjawat awam lebih besar daripada segala-galanya.

Tema sambutan Hari Pekerja bagi CUEPACS pada tahun ini ialah ‘Pekerja Teras Mendepani Cabaran.

Tema ini dipilih kerana ia bersesuaian dengan peranan warga kerja perkhidmatan awam yang sentiasa menjadi tunjang kepada kerajaan dalam mendepani cabaran yang dihadapi negara ketika ini.

Walaupun berlaku perubahan yang besar dalam pentadbiran kerajaan ekoran peralihan kuasa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan terakhir pada Februari 2020, penjawat awam ternyata mampu terus menggalas amanah dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam bergerak seperti biasa untuk kesejahteraan rakyat.

Begitu juga ketika negara dilanda penularan COVID-19 pada awal tahun lalu, pengorbanan penjawat awam terutama petugas di barisan hadapan berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 hingga pernah mencatatkan beberapa kali angkar sifar bagi jangkitan kes tempatan.

Sehingga kini penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan kekal komited dan tidak pernah berputus asa bagi memastikan rakyat dapat menikmati hidup mereka seperti biasa di sebalik penularan COVID-19 yang masih tidak berkesudahan.

Dalam pada itu, CUEPACS menghargai kerjasama dan penghargaan yang diberikan oleh kerajaan yang sentiasa mendengar permintaan dan permasalahan yang dibawakan CUEPACS melibatkan penjawat awam dan perkhidmatan awam di Malaysia.

Hubungan CUEPACS dan kerajaan pada ketika ini berada pada tahap yang baik apabila kerajaan sentiasa terbuka mendengar cadangan dan pandangan daripada CUEPACS.

Keterbukaan ini turut dikongsi oleh pegawai tertinggi kerajaan yang lain seperti Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Kharul Adib Abd Rahman dan semua ketua-ketua jabatan.

CUEPACS berharap kerajaan terus komited dengan agenda untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan kebajikan warga penjawat awam.

Antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan mengenai isu dan permasalahan warga kerja di Malaysia adalah:

  • Gaji: Masih ramai pekerja di Malaysia yang gaji mereka berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan negara iaitu RM2,208.
  • Laluan Kerjaya: pekerja bawahan tidak mendapat peluang peningkatan kerjaya walaupun mempunyai kemahiran dan keupayaan yang baik.
  • Perumahan: harga rumah yang terlalu tinggi berbanding pendapatan yang diterima sehingga menjejaskan kemampuan untuk memiliki kediaman impian.
  • Kos Sara Hidup: Mekanisme terbaik perlu dicapai bagi mengatasi peningkatan kos sara hidup terutama di bandar-bandar besar.

CUEPACS berharap kerajaan dan majikan di Malaysia dapat memberikan perhatian mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pekerja masing-masing bagi memastikan kemajuan yang dinikmati negara dapat dikongsi bersama.

CUEPACS berharap hubungan toleransi, keharmonian dan kerjasama yang lebih erat dapat diterjemahkan antara kesatuan sekerja, kerajaan dan majikan.

Sekian terima kasih, Selamat Hari Pekerja.

Penulis ialah Presiden CUEPACS. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Latest News

Korea Utara tarik diri: Malaysia rayu FIFA adil buat ketetapan

CYBERJAYA - Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan...

More Articles Like This