31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Agong gusar jangkitan COVID-19 naik lebih 3,000 kes

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran terhadap kenaikan berterusan kes jangkitan COVID-19 di negara ini yang telah mencecah lebih 3,000 kes positif harian.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadzil Shamsuddin hari ini, Seri Paduka menyeru kepada rakyat supaya sentiasa berdisiplin dalam mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami COVID-19 seperti yang dialami oleh beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah.

“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka menasihatkan rakyat supaya tidak alpa dan mengambil sikap sambil lewa dengan arahan serta pematuhan SOP di bazar-bazar Ramadan, sekolah-sekolah dan majlis-majlis keraian umum seperti majlis berbuka puasa dan kenduri bagi memastikan penularan jangkitan wabak COVID-19 di negara dapat dikawal dan dibendung dengan sebaiknya,” jelas kenyataan tersebut.

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan rakyat supaya tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada demi kesihatan dan keselamatan diri, ahli-ahli keluarga serta masyarakat kerana kesan gelombang keempat penularan wabak COVID-19, jika berlaku, juga akan mengancam dan meruncingkan lagi ekonomi negara serta sosioekonomi rakyat jelata.

Seri Paduka menzahirkan kegusaran berikutan laporan-laporan berita terkini berkenaan penutupan beberapa sekolah di negara ini akibat penularan wabak COVID-19 dan kadar pematuhan SOP di beberapa majlis keraian dan bazar Ramadan di beberapa negeri masih belum mencapai tahap memuaskan.

“Turut membimbangkan apabila adanya laporan yang menyatakan hospital swasta di Lembah Klang kini mengalami kekurangan katil bagi menampung jumlah pesakit susulan peningkatan kes COVID-19 sejak dua minggu lalu.

“Dilaporkan bahawa Kementerian Kesihatan turut meramalkan bahawa kes harian COVID-19 di negara ini boleh meningkat melebihi 3,000 selepas Hari Raya Aidilfitri sekiranya kurang pematuhan SOP yang secara langsung turut boleh meningkatkan nilai kebolehjangkitan,” tambah kenyataan itu.

Seri Paduka turut menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekalipun tidak bergejala.

“Rakyat sewajarnya jujur pada diri sendiri dan masyarakat dengan mematuhi arahan kuarantin dan SOP bagi mengelak kemudaratan kepada masyarakat serta negara,” jelas kenyataan berkenaan.

Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, penularan jangkitan COVID-19 mampu dilandaikan sekali lagi demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

“Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulian ini, Seri Paduka mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama baginda mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman wabak COVID-19 ini dapat diakhiri dengan segera,” jelas kenyataan itu. – EDISI 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan