34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Suntikan vaksin: Sultan Selangor berkenan tunggu giliran

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 hanya selepas semua petugas barisan hadapan mendapat suntikan tersebut.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan berkata, keutamaan pemberian vaksin ketika ini harus ditumpukan kepada petugas barisan hadapan termasuk para doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan dan guru.

Ini kerana menurut baginda, para petugas barisan hadapan terbabit sentiasa berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.

“Justeru, (baginda menerima suntikan) sehingga semua petugas barisan hadapan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

“Baginda sendiri akan terus mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal lebih satu meter serta duduk di rumah sekiranya tidak perlu untuk berada di luar,” kata kenyataan itu menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Kenyataan itu berkata, baginda berkenan menasihatkan seluruh rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya, agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing seperti yang telah dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan.

Baginda juga mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai anti-vaksin.

Titah baginda, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin ini seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Namun demikian, meskipun telah mendapatkan vaksin kelak, baginda mahu rakyat terus hidup dengan mengamalkan norma-norma baharu sehinggalah pandemik Covid-19 ini dapat dikawal sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan petugas baris hadapan di Selangor yang bakal menerima vaksin untuk fasa pertama adalah sebanyak 66,690 orang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari antara pemimpin negeri yang menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa satu manakala Exco Kerajaan Negeri juga akan disenarai sebagai penerima vaksin fasa tersebut.

Rabu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini disuntik vaksin wabak berkenaan keluaran Pfizer-BioNTech.

Ia sebagai simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan.

Ia disusuli Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Putrajaya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan