32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PKPD Central Medicare Perak, 22 Februari-7 Mac

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare di Hilir Perak mulai esok hingga 7 Mac.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 19 Februari, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan sebanyak 1,966 ujian saringan di lokaliti Central Medicare.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 185 orang telah didapati positif COVID-19.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 orang pekerja tempatan serta asing yang tinggal di lokaliti ini dan seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, PKPD di Penjara Taiping, Perak dan kuarters kakitangannya akan berakhir esok seperti yang dijadualkan.

Beliau menambah, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan sebanyak 482 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 142 kes direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan baki kes positif di lokaliti tersebut menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel saringan sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Taiping dan kuarters kakitangan pada 22 Februari,” jelasnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 493 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Ismail Sabri menjelaskan, daripada jumlah itu, seramai 484 orang dikenakan kompaun manakala sembilan lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah rentas negeri / daerah tanpa kebenaran (133), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (132), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (117), tidak memakai pelitup muka (70), aktiviti pusat hiburan (15) premis beroperasi lebih masa / tanpa kebenaran (13), keluar rumah tanpa alasan munasabah (5), aktiviti sukan (2) dan lain-lain (6),” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pasukan keselamatan juga berjaya menahan seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas 17 kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 102 buah bot atau kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH/BN wakili kerajaan perpaduan

CALON Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan mewakili...

Lagi Artikel Berkaitan