32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PKPB Sarawak sambung hingga 15 Mac, kes meningkat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sarawak yang dijadualkan berakhir pada 1 Mac dilanjutkan lagi sehingga 15 Mac.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan, masih berlaku peningkatan kes di seluruh negeri,

Beliau memberitahu, sebanyak 2,623 kes telah direkodkan dalam tempoh 14 hari bermula 12 sehingga 25 Februari 2021.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di seluruh negeri Sarawak bermula 2 Mac sehingga 15 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, PKP Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu, Sarawak mulai esok hingga 12 Mac.

Ismail Sabri berkata, setakat ini sebanyak 59 kes positif COVID-19 telah direkodkan dan Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,500 penduduk serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Antara prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

• Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.
• Semua rumah ibadat dan sekolah dalam kawasan PKPD ditutup sepanjang tempoh ini.
• Semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi.
• Sumbangan bantuan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tempoh PKPD perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu.
• Pemberian bantuan bekalan makanan akan diselaraskan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu.
• Aktiviti sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan.

Beliau turut mengumumkan bahawa PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) & Kuarters Kakitangan Batu Gajah, Kinta, Perak yang dijadualkan tamat pada 27 Februari 2021 dilanjutkan sehingga 13 Mac.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 761 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 433 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan peningkatan kes masih berlaku melibatkan tahanan di PPA ini apabila sebanyak 13 kes baharu direkodkan pada 25 Februari 2021,” jelasnya.

Dalam pada itu, PKPD akan dikuatkuasakan di Kampung Sinsingon dam Kampung Lotong di Nabawan, Sabah mulai esok hingga 1 Mac ini.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 42 kes positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan kedua-dua lokaliti ini.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” ujarnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, polis menahan seramai 326 individu semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 320 orang dikompaun manakala enam lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (106), tidak memakai pelitup muka (77), tiada penjarakan fizikal (43), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (35), aktiviti pusat hiburan (23), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (22), aktiviti perjudian (7), keluar rumah tanpa alasan munasabah (4), ingkar arahan kuarantin (1) dan lain-lain (8),” katanya.

Menurut beliau, pasukan keselamatan berjaya menahan 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam dan merampas empat bot atau kapal serta lima kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 122 buah bot/kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan