31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

‘Diserang’ dari dalam, jangan harap Pas akan berantakan

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9


APA yang berlaku dalam UMNO sekarang bukan lagi rahsia. UMNO kini sedang berantakan akibat pertembungan antara kelompok yang mahu terus bekerjasama dengan Bersatu dan kumpulan yang menentangnya.

Pada masa sama khabarnya, dalam parti itu juga di ambang ‘pertembungan’ antara ‘dua singa di atas satu bukit’.

Kini heboh pula pertembungan antara pemimpin dalam Pas. Isunya sama dengan UMNO iaitu sama ada Pas perlu terus bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) atau kekal dalam Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Bersatu.

Pertembungan itu dikatakan berlaku apabila ada pemimpin Pas tidak bersetuju dengan sikap Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan lebih berat kepada PN dan mahu bersama perikatan itu dalam PRU-15.

Bagaimanapun atas nama perpaduan ummah, Presiden Pas itu tetap mahu UMNO bersama.

Satu lagi kumpulan pula mahukan Pas terus kekal bersama Muafakat Nasional (MN) dan berjuang bersama UMNO dalam PRU-15. Penulis pun ada menerima senarai nama siapa yang terlibat dalam pertembungan ini.

Tidak dapat dinafikan pertembungan itu mungkin berlaku seperti mana keadaan dalam UMNO sekarang selepas kehadiran parti Bersatu, tetapi ia tidak akan menyebabkan Pas berantakan.

Antara UMNO dan Pas masing-masing ada cara serta pendekatan sendiri untuk menangani isu atau masalah. Pemimpin Pas tidak seperti pemimpin UMNO. Kalau ada masalah pemimpin Pas lebih selesa untuk selesaikan secara dalaman dan bukannya mengheboh-hebohkan di media.

Ia berbeza dengan UMNO. Terlalu ramai ‘jurucakap’, walaupun ada yang cakap tu sudah kalah dalam pilihan raya. Itulah belum lagi, ‘kaki ulas’ kaki media sosial termasuk membuat ‘live Facebook’.

UMNO juga terpaksa berhadapan dengan pemimpin yang mudah sangat nak komen berhubung isu dalaman parti kepada media. Kalau ulas perkara baik, tidak mengapa, masalah yang diulas ialah isu yang boleh memecah belahkan parti.

Namun begitu UMNO masih lagi mempunyai pemimpin-pemimpin yang sentiasa bijak dalam membuat kenyataan.

Advertisements

Contohnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pemuda UMNO, Datuuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penerangan Shahril Hamdan dan beberapa orang lagi. Mereka hanya akan ‘membuka mulut’ apabila merasakan perlu sahaja.

Kalau dalam Pas jarang sekali kita mendengar hasil atau perbincangan sulit dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat bocor, tetapi mesyuarat MT UMNO mudah sangat terbocor.

Pemimpin-pemimpin Pas juga bijak menjaga mulut. Walaupun ada isu dalam parti itu, mereka mengamalkan pendekatan ‘berkocak di dalam cawan’ sahaja, tidak sampai tertumpah ke luar, tetapi bagaimana dengan UMNO? Bukan kata ‘kocak dalam cawan’…’kocak dalam tempayanpun’ boleh tumpah ke luar.

Justeru penulis tidak nampak ‘serangan’ atau isu yang kini hangat diperkatakan akan memberi kesan kepada Pas. Mungkin memang betul ada masalah, tetapi pemimpin-pemimpin mereka amat bijak mengawal situasi.

Begitulah juga akar umbi Pas, mereka sentiasa tenang. Mereka tidak akan kelam kabut atau cepat terpengaruh dengan berita yang terbesar.

Mereka akan menanti kenyataan rasmi daripada barisan kepemimpinan dan akan patuh terhadap apa juga keputusan atau pendirian yang dibuat. Walaupun keputusan itu menimbulkan perasaan tidak puas hati tetapi mereka akur kepada kehendak pemimpin.

Penulis tersenyum bila membaca kenyataan seorang pemimpin UMNO yang memberitahu, beliau difahamkan ahli Pas pun tidak bersetuju parti itu berkawan dengan Bersatu, mungkin betul tetapi kalau pemimpin itu mengharapkan ia akan menyebabkan Pas berantakan, lupakan sahaja.

Ahli-ahli Pas sentiasa istiqamah dalam perjuangan mereka. Sebab itulah pemimpin-pemimpin Pas mudah mengawal situasi atau isu. Lagipun pemimpin parti itu tidak akan ‘memperalatkan perkataan akar umbi’ dengan sewenang-wenangnya untuk melaksanakan agenda politik mereka.

Oleh itu penulis percaya isu yang berlaku dalam Pas itu tidak akan ke mana, cuma yang perlu diketahui, angkara siapa yang mahu memecah belahkan Pas setelah UMNO berantakan.

Tetapi sekali lagi, jika ‘si dalang’ itu merasakan misinya akan berjaya seperti mana terjadi dalam UMNO, ternyata dia tidaklah sebijak mana. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan