26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Daerah ikut sempadan pentadbiran, bukan sempadan polis

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Takrif ‘daerah’ yang sepatutnya digunakan oleh pihak berkuasa dalam menguatkuasakan larangan rentas daerah adalah dari segi sempadan daerah pentadbiran dan bukannya sempadan daerah polis.

Penjelasan itu diberikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi merungkai kekeliruan yang timbul tentang perkara tersebut.

Beliau dimaklumkan bahawa ramai orang mengadu mereka ditahan dan dikenakan kompaun oleh polis ketika melalui sekatan jalan raya dalam daerah sedangkan pergerakan dalam daerah yang sama adalah dibenarkan.

“Bagi mereka yang telah dikompaun dalam kes-kes sebegini, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah kompaun yang dikeluarkan.

“Saya harap dengan penjelasan ini tiada lagi kekeliruan selepas ini,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri
ISMAIL SABRI YAAKOB

Ismail Sabri turut menyatakan bahawa kerajaan tidak pernah menutup perkhidmatan hotel sama ada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Jika ada hotel yang menutup operasi mereka kerana kurang tempahan, itu bukan atas arahan kerajaan,” jelasnya.

Berhubung perkembangan pandemik COVID-19, beliau memberitahu, bulan lalu, Malaysia merekodkan kes harian tertinggi iaitu 5,725 kes dan sejak akhir-akhir ini, jumlah kes harian positif COVID-19 menurun ke sekitar lebih 2,000 kes.

Ismail Sabri menambah, walaupun masih mencatat kes empat digit, data daripada Kementerian Kesihatan menujukkan salah satu sebab penurunan kes harian adalah langkah yang diambil oleh kerajaan dengan mengawal pergerakan orang ramai merentas daerah dan negeri.

“Langkah menyekat rentas daerah/negeri dilakukan selepas mengambil iktibar susulan peningkatan kes ketika kebanyakan orang ramai terutama yang tinggal di zon merah pulang ke kampung halaman masing-masing penghujung tahun lalu dan awal tahun ini.

“Ini menyebabkan kes naik mendadak di beberapa negeri. Jika dahulu, sesebuah daerah dikategorikan sebagai zon hijau namun hanya beberapa minggu sahaja, daerah terlibat bertukar kepada zon merah,” jelasnya.

Menurut beliau, antara penyumbang kepada penurunan kes adalah kepatuhan rakyat yang semakin tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Kerajaan melihat rakyat di negara ini amat berdisiplin malah sentiasa peka terhadap persekitaran bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19 yang telah melanda negara kita sejak Januari 2020.

“Slogan #KITAJAGAKITA banyak menyedarkan rakyat dan kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) sepanjang Ogos hingga bulan ini mendapati kadar pematuhan orang ramai terhadap SOP norma baharu adalah tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mengumumkan PKP Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Sitiawan, Perak dan di Felda Triang 3, Bera, Pahang ditamatkan esok.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 321 individu semalam atas kesalahan ingkar SOP.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 286 individu telah dikompaun manakala 29 individu direman dan enam orang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (75), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (65), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (55), tiada penjarakan fizikal (49), aktiviti pusat hiburan (30) dan lain-lain (47),” katanya.

Selain itu, pasukan keselamatan berjaya menahan 17 orang pendatang asing tanpa izin (PATI), empat tekong serta merampas 11 kenderaan darat dalam Op Benteng yang diadakan di seluruh negara semalam.

Dalam operasi itu juga, 34 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan