KEMAMAN – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak menyangka kurang selera makan yang dialami sejak beberapa hari lepas rupanya kerana beliau dijangkiti Covid-19.
Ahmad yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri berkata, beliau menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik swasta Ahad lalu kerana kurang selera makan, tanpa gejala lain.
“Hari ini (semalam) saya menerima keputusan bahawa saya telah disahkan positif Covid-19,” katanya menerusi menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad berkata, isterinya Toh Puan Seri Norliza Mahmud yang turut membuat ujian saringan bersama beliau kerana selesema turut disahkan positif jangkitan wabak tersebut.
Kedua-duanya kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Minggu lalu, Ahmad bersama para pemimpin UMNO turun padang membantu dan melawat mangsa-mangsa banjir di pusat penempatan sementara ekoran banjir yang melanda daerah ini.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada semua kontak rapat Ahmad diarah menjalani ujian saringan atau sebaliknya.
Terengganu menjadi antara negeri terbaharu diumumkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes baharu Covid-19.
PKP di seluruh negeri itu mula dilaksanakan mulai 22 Januari ini sehingga 4 Februari depan, sepertimana diumumkan oleh Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Selain Terengganu, lima lagi negeri menjalani PKP untuk tempoh yang sama ialah Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis. – Edisi 9