32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Kurang ajar! Ada yang minum bir di pusat kuarantin

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengecam tindakan sekumpulan individu yang bertindak meminum bir di sebuah pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah di Sabah melalui satu rakaman video yang tular semalam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS menyifatkan tindakan kumpulan individu tersebut sangat biadab dan kurang ajar kerana seolah-olah sedang bergembira sedangkan petugas barisan hadapan sedang sibuk mengerah keringat menyelamatkan rakyat daripada pandemik COVID-19.

Menurut beliau, tindakan tersebut juga seperti tidak menghormati pengorbanan petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain kerana secara jelas melakukan kesalahan di kawasan yang digunakan sebagai fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit COVID-19.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya mereka sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan apatah lagi ketika sedang mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan.


“Tindakan meminum bir itu juga boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat dan mungkin boleh mencetuskan masalah lain sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan memberitahu, CUEPACS menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas kepada pelaku terbabit yang sememangnya jelas sengaja melanggar undang-undang.

Beliau menambah, tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar tiada lagi pihak lain yang berani bertindak seolah-olah petugas barisan hadapan kita sedang berseronok atau berhadapan dengan satu perkara yang remeh.

“CUEPACS juga mahu tindakan diambil kepada pihak yang terlibat membawa, membekalkan atau melepaskan minuman keras itu kepada pesakit yang dirawat.

“Sekiranya ada penglibatan oleh pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri, tindakan tatatertib wajar dikenakan kerana ia mencemarkan integriti terutamanya membabitkan penjawat awam,” jelasnya.

Adnan menegaskan, perkara itu tidak boleh dipandang remeh dan pihak berkuasa tidak perlu melindungi mereka yang bersalah.

Beliau berkata, CUEPACS berharap tindakan dan keputusan siasatan ini dapat dilakukan dengan segera serta tidak mengambil masa yang lama.

Pada masa yang sama, katanya, CUEPACS menasihatkan semua pihak agar tidak melakukan perkara yang jelik di mana-mana pusat kuarantin yang menggambarkan kita sedang bergembira di sebalik derita petugas barisan hadapan.

“Sentiasalah jaga tingkah laku masing-masing dan tidka bertindak mengikut perasaan walaupun tertekan atau bosan.

“Hormatilah petugas barisan hadapan yang berkorban nyawa berhadapan dengan virus COVID-19 ini.

“Kerjasama daripada semua rakyat sudah sekurang-kurangnya membantu dan memberi semangat kepada petugas barisan hadapan kita,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan